Pemilik bangunan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diingatkan supaya menjelaskan cukai taksiran penggal pertama sebelum 28 Februari ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan sebanyak 168 permit niaga untuk membantu penjaja yang semakin bertambah akibat desakan hidup.

Unit Komunikasi Korporat MBPJ dalam satu kenyataan menyebut, pemberian lesen bawah dasar PKP/PKPD membabitkan lapan kawasan zon ahli majlis setakat 6 Julai lalu.

Katanya, jenis jualan yang diberikan permit termasuk makanan, minuman dan buah-buahan.

“Konsep pemberian permit ini dibahagikan kepada dua iaitu secara penyusunan (lokasi yang dikhaskan) dan secara in situ (memberi permit di tempat asal),” katanya.

Bagi permit berkonsepkan penyusunan, MBPJ menjelaskan, penjaja akan ditempatkan dalam satu kawasan dan disusun mengikut proses cabutan undi petak.

Sementara konsep in situ pula diberikan untuk penjaja yang tidak mendirikan struktur kekal, tidak meninggalkan barang perniagaan dan tidak membuat halangan di lokasi.

“Pemberian permit ini juga akan diperluas lagi ke seluruh Petaling Jaya iaitu ke 24 kawasan zon ahli majlis secara berperingkat.

“Majlis berharap inisiatif ini dapat meringankan kesusahan dan keperitan masyarakat yang kehilangan pekerjaan dan terpaksa menjaja di tepi jalan untuk menjana pendapatan,” katanya.

Antara kawasan yang diberikan permit setakat ini iaitu zon 17 sebanyak 86 permit, zon 24 (37), zon 15 (enam), zon 21 (17), zon 3 (15), zon 8 (lima) dan dua di zon 9. – MalaysiaGazette