Dr. Ahmad Yunus antara calon PN yang dicadangkan sebagai Menteri Besar Selangor oleh DPPS.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan kesihatan di Malaysia masih jauh daripada yang diharapkan dan kerajaan disaran menaik taraf prasarana serta perkhidmatan sedia ada.

Ia khususnya hospital, pusat kesihatan dan klinik desa di kawasan luar bandar.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, penambahbaikan perkhidmatan perubatan dan kesihatan secara tidak langsung akan meningkatkan keperluan perjawatan kepakaran dan doktor, farmasi dan paramedik.

“Ini juga akan memastikan perkhidmatan kesihatan di negara kita berada di tahap yang terbaik apatah lagi untuk menangani krisis kesihatan seperti pandemik Covid-19 di masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, lebih 100 doktor kontrak di setiap hospital di seluruh negara menyertai perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak bagi mengetengahkan beberapa tuntutan kepada kerajaan.

Perhimpunan berkenaan berlaku serentak di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara itu mendesak kerajaan menyerap doktor kontrak menjadi pengamal perubatan tetap di KKM.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Yunus berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan jumlah yang sewajarnya untuk menaik taraf infrastruktur dan perkhidmatan kesihatan setaraf dengan keperluan umum masa ini.

“Dalam belanjawan negara, peruntukan KKM RM15.35 bilion pada 2010 berbanding RM30.6 bilion 2020.

“Lonjakan 99.3 peratus atau RM15 bilion dalam tempoh 10 tahun itu adalah cerminan terhadap tekad kerajaan ke arah usaha mengukuhkan aspek perkhidmatan kesihatan awam demi manfaat segenap lapisan masyarakat.

“Pada 2021, KKM diberi peruntukan RM31.94 bilion berbanding belanjawan keseluruhan RM322.5 billion dan ia mencukupi untuk menampung keperluan semasa, tidak melebihi 10 peratus dari belanjawan tahunan.

“Ini akan menjadi justifikasi keperluan perkhidmatan kesihatan yang lebih besar untuk diisi perjawatan oleh ramai penjawat kontrak untuk jawatan tetap nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette