Antara barang sumbangan yang akan diberi kepada penduduk kawasan sempena Program Bantuan Makanan di Bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) di Tanjung Karang. Foto HAFIZ SOHAIMI, 05 JULAI 2021
Saudara pengarang,
Beberapa bulan lalu, presiden sebuah negara jiran menegaskan kerajaannya tiada wang untuk terus memberi bantuan kewangan kepada golongan kurang berkemampuan yang terjejas akibat Covid-19.
Kenyataan seperti itu tidak pernah didengar daripada mulut pemimpin kita walaupun ramai mengkritik, malah ada yang melabel pentadbiran di Putrajaya gagal menangani pandemik dihadapi ketika ini walaupun semua sedar perang melawan musuh tidak kelihatan masih berterusan, bukan sahaja di negara kita, tetapi majoriti negara lain di seluruh dunia.
Lihat sahaja senarai inisiatif dan bantuan yang dilaksanakan, tiada siapa boleh nafikan hakikat bahawa kerajaan kita lebih berhati perut, lebih bertimbang rasa dan lebih prihatin terhadap nasib rakyat.
Ketika Covid-19 mencetuskan pelbagai krisis lain terutama kewangan, belum didengar lagi kerajaan mahu  rakyat ‘mengikat perut’ atau kata-kata supaya rakyat jangan mengharap wang percuma.
Belum juga kedengaran permintaan agar rakyat perlu berkorban kecuali mengorbankan sedikit kebebasan kerana kawalan pergerakan dalam usaha negara memutuskan rantaian penularan virus berbahaya yang mengancam nyawa.
Sepanjang krisis yang dihadapi sejak Februari tahun lalu, tiada sekali pun didengar kenyataan bahawa kerajaan tidak boleh membantu golongan yang memerlukan atau pun mengingatkan bahawa rakyat tidak boleh sepanjang masa mengharapkan bantuan semata-mata.
Sebaliknya, insentif demi insentif sibuk dirangka dari semasa ke semasa dalam usaha untuk melepaskan rakyat daripada kesempitan dan bebanan yang dihadapi akibat Covid 19.
Pelbagai pakej rangsangan ekonomi diperkenal walaupun dengan ruang fiskal yang terhad, krisis diurus penuh komited dengan mengimbangi di antara keutamaan melindungi nyawa dan keperluan menjamin kelangsungan hidup.
Lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion dilaksana sejak Mac 2020 untuk membendung penularan Covid-19 dan pada masa sama meringankan beban rakyat serta memastikan kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi.
Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion adalah yang pertama, diikuti tujuh lagi pakej, iaitu PRIHATIN PKS+ sebanyak RM10 bilion; Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM35 bilion serta Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA PRIHATIN) sebanyak RM10 bilion.
Selepas itu, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI) bernilai RM15 bilion; Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) sebanyak RM20 bilion; PEMERKASA Tambahan bernilai RM40 bilion serta yang terbaharu, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sebanyak RM150 bilion.
Tujuh pakej bantuan sebelum PEMULIH memanfaatkan lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta perniagaan dengan lebih RM200 bilion dibelanjakan, manakala baki RM100 bilion untuk digunakan bagi pelaksanaan dalam tempoh separuh kedua 2021.
PEMULIH menjadikan jumlah keseluruhan suntikan fiskal 2021 adalah RM45 bilion berbanding RM38 bilion bagi 2020.
Pakej bantuan dan rangsangan yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah beteraskan  tiga tonggak utama, iaitu rakyat, perniagaan dan ekonomi.
Kita akui, sebesar mana pun pakej bantuan dan rangsangan yang mampu dibiaya kerajaan, ia tetap tidak boleh mengimbangi dari segi kerugian mereka yang kehilangan pendapatan dan perniagaan yang tidak dapat beroperasi.
Namun, sekurang-kurangnya kita di Malaysia boleh berharap dan bergantung kepada kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan rakyat, tidak menutup mata dan tidak memekakkan telinga.
Roslan Hamid
Putrajaya

1 Komen

  1. Pati dan bekas talibarut PKM yang ditubuhkan dan dibiayai sekian lama oleh Tanah Besar Komunis Cina sehingga 1989 pun rakyat juga sebab mereka dah tinggal lama di negara sekangkang kera ini, kan?

Comments are closed.