Exco Kesihatan dan Alam Sekitar,R Vidyananthan

JOHOR BAHRU – Sektor perkilangan dikenal pasti menjadi penyumbang tertinggi peningkatan kes Covid-19 di negeri ini apabila merekodkan 82 kluster aktif setakat semalam.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyanathan berkata, penularan utama dilaporkan berpunca dalam kalangan pekerja yang tinggal di asrama.

Selain itu katanya, ujian bersasar yang dijalankan menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19.

“Sehingga semalam angka kes Covid-19 aktif di negeri ini adalah sebanyak 154 kluster dan daripada jumlah tersebut, 82 kluster (yang mana) 53 peratus melibatkan penularan dalam industri, 30 kluster atau 19 peratus di dalam komuniti, 27 kluster membabitkan 18 peratus di dalam institusi, 10 kluster atau enam peratus di pasar raya, tiga kluster atau tiga peratus tahanan dan dua kluster iaitu satu peratus import A.

“Beberapa faktor peningkatan kes semasa telah dikenal pasti yang mana faktor utama adalah kejadian kes dalam kalangan sektor perkilangan,” katanya.

Jelas Vidyananthan, seramai 828,921 individu di negeri ini telah menerima dos pertama menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi fasa 2 bermula 29 April lalu.

Setakat ini, tambah beliau, pihaknya mendapati sebanyak 231 Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) telah beroperasi di Johor melibatkan 41 PPV awam, 12 PPV mega, tiga PPV industri dan 175 PPV swasta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast