Tony Fernandes

KUALA LUMPUR –  AirAsia Group Bhd akan membentangkan kertas cadangannya mengenai usaha untuk memulakan semula industri pelancongan kepada jawatankuasa Majlis Pemulihan Negara (MPN) lewat hari ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Tan Sri Tony Fernandes.

“Selepas pertemuan ini dan membentangkan kertas kerja kami kepada jawatankuasa teknikal MPN, saya kemudiannya akan membentangkan sepenuhnya kepada MPN.

“Saya fikir kerajaan benar-benar mahu membuka sektor ekonomi dan ianya sangat baik…Saya harap saya dapat memainkan sedikit peranan dalam pemulihan Malaysia,” katanya  pada persidangan meja bulat media secara maya sempena pelancaran podcast (audio siar)  beliau, berjudul ‘Talks With Tony’, di sini, hari ini.

Fernandes berkata, satu pertemuan dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz diadakan semalam berkaitan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan merupakan antara sektor yang paling terjejas akibat pandemik Covid-19.

Kerajaan melalui lapan pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021 telah memperuntukkan beberapa inisiatif khas untuk sektor itu, termasuk bantuan sekali sebanyak RM500 kepada 17,000 pemandu pelancong berdaftar dengan peruntukan RM1.5 bilion bagi pembiayaan mikro khas sektor pelancongan dan RM200 juta kepada Pelan Pemulihan Pelancongan.

Mengenai podcast tersebut, Fernandes berkata ia akan dilancarkan pada Ahad ini yang akan memaparkan perkongsian pengalaman dan pandangan beliau dalam pelbagai isu melalui perbualan bersama teman dan rakan-rakan yang telah berjaya menempa nama dalam bidang masing-masing. – MalaysiaGazette