Minister of Science, Technology and Innovation, Khairy Jamaluddin Abu Bakar speaks to the journalists about the Pfizer BioNTech Covid-19 vaccine at the Putrajaya Health Clinic of Precinct 11, Putrjaya. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 24 FEBRUARY 2021. Sinovac Covid-19 vaccine Rembau Hospital
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Dasar pembelian vaksin COVID-19 bagi suntikan tambahan atau booster, akan ditentukan dan diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin hari ini.

Khairy berkata dasar tersebut berkemungkinan diumumkan dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentang pada 29 Okt nanti.

“Tapi saya yakin kita akan dapat suntikan tambahan kepada sebahagian besar rakyat Malaysia secara percuma dalam program PICK yang berterusan,” katanya ketika sesi penggulungan pembentangan Program Vaksinasi di Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Penampang Datuk Darell Leiking mengenai keupayaan kerajaan untuk membeli vaksin bagi suntikan tambahan itu dan sama ada kerajaan akan menjualnya.

Sementara itu, Khairy berkata, syor pakar mengenai keperluan dos ‘booster’ akan diumumkan pada minggu hadapan.

Beliau berkata keputusan itu akan diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pemilihan Calon Vaksin COVID-19 Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Kalaiarasu M Periasamy.

“Perkara ini juga bukan hanya dibentangkan dari segi keperluan dos booster berdasarkan pengalaman-pengalaman di negara lain tetapi sama ada kita akan memberi ‘booster dose heterologous vaccination’, maksudnya kita memberikan dose vaksin yang berbeza daripada vaksin asal yang kita terima,” kata Khairy.

Beliau berkata ada beberapa negara sudah mengamalkan ‘heterologous vaccination’ seperti di Jerman dan Korea Selatan berikutan gangguan bekalan vaksin.

Katanya, syor akan diterima daripada pakar berdasarkan data klinikal yang telah dikumpul di seluruh dunia dan akan mengenal pasti adakah kaedah vaksinansi ‘heterologous’ itu selamat serta suntikan ketika booster ini akan menggunakan jenis vaksin berlainan. – MalaysiaGazette