Mohamed Shafie BP Mammal

KUALA LUMPUR – Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mahu kerajaan mengambil pendekatan proaktif dengan menyerap doktor-doktor kontrak ke dalam perkhidmatan dengan segera, bukannya menunggu satu atau dua tahun lalu lagi.

Kerajaan diminta tidak merumitkan isu yang dihadapi ini sebab semua orang faham apa itu pekerjaan yang berstatus tetap dan berstatus kontrak.

Bagaimanapun, mereka melakukan tugas-tugas sama berat dengan beban para doktor yang bertaraf tetap.

Malah dalam kebanyakan masa tugas mereka adalah lebih berat berbanding doktor-doktor bertaraf tetap.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, doktor-doktor kontrak juga merupakan aset yang berharga bagi sektor perubatan dan kesihatan negara.

Pandemik Covid-19 membuktikan negara sebenarnya memerlukan pengalaman mereka untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara dalam jangka panjang.

Doktor-doktor kontrak juga merupakan kumpulan tenaga kerja yang tersedia ada yang tidak perlu kerajaan berfikir panjang apabila kita berhadapan dengan satu lagi krisis kesihatan kelak.

”Kumpulan doktor ini telah teruji ketika pandemik Covid-19 yang merupakan bencana atau krisis kesihatan global, dan sepatutnya kerajaan menyerap mereka ke dalam sistem perkhidmatan dengan serta-merta tanpa berfikir panjang.

”Kita juga perlu mengambil kira faktor kemanusiaan dan kerajaan perlu mengambil kira keperluan masa dengan doktor-doktor kontrak dengan tidak mengabaikan kebajikan mereka kerana mereka juga memerlukan taraf kerja dan kehidupan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, protes tempoh hari adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia sekumpulan anak muda profesional mengambil bahagian dalam tindakan mogok.

Oleh itu, UNI-MLC berpandangan doktor-doktor terbabit amat kecewa dengan keadaan yang mereka lalui sekarang, dengan status kerja mereka hanya bersifat sementara sedangkan mereka perlukan satu kerja yang tetap.

Memandangkan negara berhadapan dengan krisis kesihatan besar, sudah tiba masa kerajaan menggunakan pengalaman doktor-doktor kontrak demi masa depan negara.

UNI-MLC berpandangan penyerapan mereka ke dalam sistem perkhidmatan bukan satu pembaziran, sebaliknya ia adalah satu pelaburan jangka panjang.

Mohamed Shafie turut berharap kerajaan akan mengambil pendekatan membina demi kepentingan seluruh negara, bukan hanya mengambil keputusan sebelah pihak sahaja dengan mengetengahkan soal kos atau implikasi kewangan.

UNI-MLC berpendapat ini bukan masa bagi kerajaan untuk membuat perhitungan kewangan semata-mata kerana dalam ancaman kesihatan, dan menghargai peranan dan sumbangan doktor-doktor kontrak sepatutnya diutamakan, dan diserapkan sebagai doktor tetap.

Pada masa yang sama, UNI-MLC berharap Menteri Kesihatan, Datuk Adham Baba, akan lebih sensitif dengan kebajikan doktor, dan mengambil pendekatan yang proaktif dan akan memahami keperluan doktor-doktor kontrak yang merupakan barisan hadapan pada masa genting ini.

Dalam mengharmonikan keadaan semasa, UNI-MLC berharap kerajaan menyediakan peruntukan lebih besar kepada sektor kesihatan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, yang bakal dibentang dalam waktu terdekat, termasuklah menyerap masuk doktor-doktor kontrak ke dalam perkhidmatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast