KUALA LUMPUR – Sesi perbahasan pada sesi sebelah petang bermula dengan suasana tegang selepas Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas) diganggu pihak pembangkang di Dewan Rakyat hari ini.
Ia bermula apabila Ahmad Tarmizi memulakan perbahasannya dengan memuji-muji Perdana Menteri dan langkah yang diambil oleh kerajaan menangani Covid-19.
Bagaimanapun, beberapa ahli Parlimen pembangkang bangkit mencelah dan menggesa Ahmad Tarmizi mengemukakan bukti bagi menunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (PH) dan Ahli Parlimen Padang Serai, M. Karupaiya (PH) antara yang membangkitkan perkara tersebut.
Rayer kemudiannya mencabar agar diadakan undi bagi membuktikan apa yang diperkatakan Ahmad Tarmizi.
Namun, Ahmad Tarmizi menegaskan undian sokongan terhadap Perdana Menteri telah pun dibuat semasa sesi pembentangan belanjawan pada Disember tahun lepas.
Selepas beberapa minit bertegang urat Timbalan Yang diPertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mempengerusikan mesyuarat meminta supaya Ahmad Tarmizi duduk bagi memberi laluan kepada ahli Parlimen lain untuk berbahas.
Ahmad Tarmizi dilihat tidak berpuas hati dan berkali-kali meminta supaya diberi masa tambahan ekoran perbahasannya telah diganggu.
Beliau juga menyatakan belum sempat untuk berbahas dan apa yang diperkatakan ketika diberi laluan untuk menyertai sesi perbahasan berkenaan baru bermula dengan mukadimah sahaja.
Namun Mohd Rashid tidak melayan permintaannya itu dengan alasanĀ sesi perbahasan pada sebelah petang singkat dan setiap ahli Parlimen diberikan masa 10 minit dan mereka perlu memanfaatkannya. – MalaysiaGazette