KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan supaya jumlah kehadiran sidang mesyuarat khas Parlimen secara fizikal dikurangkan.
Dalam masa yang sama kementerian itu turut mencadangkan agar tempoh persidangan dipendekkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, cadangan itu disuarakan semasa Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Khas Bagi Dewan Rakyat berikutan Penularan Wabak Covid-19 pada 26 Julai 2021 pada pagi ini.
Jelasnya, cadangan itu atas dasar mengambil kira situasi semasa Covid-19, keputusan saringan yang dijalankan sebelum Parlimen dan untuk mencegah penularan wabak berkenaan.
“Bagi memastikan Sidang Khas Parlimen terus berjalan lancar, semua individu dikehendaki untuk mematuhi SOP dan
peraturan-peraturan sedia ada,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, sehingga 28 Julai, sebanyak 56 kes positif Covid-19 telah dikesan melibatkan dua Ahli Parlimen, enam orang pegawai pengiring dan 48 orang pegawai dari pelbagai agensi kerajaan.
Manakala, seramai empat kontak rapat telah dikenal pasti yang tidak hadir persidangan sejak hari pertama.
“Ini menjadikan kadar positif adalah 2.7 peratus. Dari 56 kes yang positif ini, 39 (69.6 peratus) terdiri dari mereka yang belum menerima dos vaksin lengkap atau belum menerima vaksin.
“Individu yang disahkan positif tidak dibenarkan hadir ke Sidang Parlimen. Mereka telah diasingkan, dirawat dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) termasuk kepada kontak rapat kes positif tersebut sebelum hari bermula Sidang Mesyuarat Khas Parlimen,” tambahnya.
Dr. Noor Hisham bekata, KKM akan terus memantau perkembangan situasi di Parlimen dari masa ke semasa.
Ujarnya, pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama dari Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah ditempatkan di Bangunan Parlimen untuk menyelaras saringan demam dan gejala ke atas semua yang memasuki bangunan Parlimen.
“Sehingga 28 Julai 2021 seramai 104 individu telah menjalani ujian saringan kendiri ‘RTK-Ag Self Test Kit’ menggunakan sampel saliva dan mendapati kesemuanya negatif Covid-19.
“Sekiranya terdapat kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan individu yang menghadiri Parlimen, siasatan akan dijalankan termasuk pengesanan kontak dan punca jangkitan.
Beliau berkata, hasil pemantauan setakat ini, tiada penularan jangkitan Covid-19 dikesan di Parlimen.-MalaysiaGazette