KUALA LUMPUR – Nasib graduan semakin membimbangkan pada tahun ini apabila statistik gaji median mereka menyaksikan penurunan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, daripada gaji median RM4,300 pada 2019, kini turun kepada RM3,815.
Keadaan itu, kata beliau, bertambah membimbangkan dengan peningkatan jumlah graduan menganggur pada 2020 sebanyak 202,400 iaitu 4.4 peratus, berbanding 165,200 (3.9 peratus) bagi tahun 2019.
“Statistik ini secara tidak langsung menzahirkan keadaan ekonomi negara yang semakin parah. Jika graduan pun mengalami penurunan gaji, bagaimana pula nasib golongan lain yang turut terkesan dengan kemerosotan ekonomi hari ini.
“Graduan terutama golongan muda harus dibantu bagi membolehkan mereka memulakan hidup dengan lebih sempurna. Ramai mereka tidak mempunyai banyak pilihan dalam memilih pekerjaan dan terpaksa bekerja di sektor yang bukan mengikut kelayakan akademik mereka.
“Maka, tidak hairanlah graduan yang dikategorikan sebagai “underemployed” atau bekerja di bidang yang tidak mengoptimumkan kemahiran mereka adalah hampir 1.4 juta individu pada tahun 2020,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Faiz, jumlah itu adalah peningkatan hampir 300,000 individu hanya dalam tempoh setahun.
Katanya, kemerosotan itu akan memberi kesan negatif kepada pendapatan anak muda berpendidikan tinggi dan menjejaskan taraf hidup mereka dalam jangka masa panjang.
“Apalah maknanya negara mencapai status berpendapatan tinggi kalau rakyatnya berpendidikan tinggi, tetapi tidak dapat menikmati gaji dan kerja yang sesuai serta adil.
“Tambahan pula, kos sara hidup semakin meningkat, sedangkan pendapatan pula terjejas pasti menyulitkan kehidupan rakyat terutama golongan muda,” katanya.
Beliau berkata, walaupun ekonomi negara merosot akibat pandemik Covid-19, ia bukan alasan bagi membiarkan keadaan itu berterusan tanpa solusi.
Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus mencari strategi jalan keluar kepada masalah ekonomi hari ini tanpa bergantung kepada Pelan Pemulihan Ekonomi (PPN) yang tidak menunjukkan apa-apa strategi tuntas untuk memulihkan ekonomi negara.
“Keyakinan pelabur asing yang semakin merosot akibat ketidakstabilan politik susulan langkah Sheraton akan menyebabkan lebih ramai hilang pekerjaan dan pendapatan,” katanya.
Jelas Faiz, kegagalan kerajaan membantu sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara serius menyebabkan lebih banyak syarikat gulung tikar dan mengancam nasib graduan.
Katanya, dianggarkan kira-kira 40,000 PKS akan menutup syarikat dan perniagaan mereka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.
Justeru, kerajaan seharusnya menyuntik lebih fiskal kerajaan ke dalam ekonomi rakyat terutama dengan memberikan subsidi upah bagi memastikan keupayaan majikan membayar gaji.
“Perbelanjaan kerajaan sebanyak RM83 bilion iaitu 16 peratus daripada keseluruhan pakej rangsangan ekonomi tidak mencukupi, bahkan kerajaan harus berbelanja lebih untuk merangsang ekonomi bagi menambah poket rakyat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette