Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada Sidang Khas Parlimen di dalam Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Sidang Khas Dewan Rakyat pada sesi sebelah pagi untuk hari keempat yang sepatutnya bermula dengan penerangan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung soal kebajikan, sosial ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat tertangguh hampir sejam.

Ia disebabkan ahli-ahli Parlimen daripada blok pembangkang masih mahu membahaskan keputusan berhubung pembatalan Ordinan Darurat.

Rata-rata ahli-ahli Parlimen pembangkang mahu supaya perbahasan mengenai perkara tersebut dibincangkan hari ini dan bukannya Isnin depan ekoran Proklamasi Darurat yang diumumkan kerajaan sebelum ini akan tamat pada hari tersebut.

Alasan yang diberikan oleh pembangkang bahawa sekiranya perkara itu dibahaskan pada Isnin soalan-soalan yang diajukan tidak lagi relevan.

Perkara lain yang turut dibangkitkan pembangkang adalah berkaitan tambahan masa untuk perbahasan memandangkan banyak perkara tidak dapat dibahaskan dalam mesyuarat kali ini.

Antara ahli-ahli Parlimen yang lantang menyuarakan perkara itu adalah Ahli Parlimen (PH-Puchong), Gobind Singh Deo; Ahli Parlimen (PH-Sepang), Hanipa Maidin; Ahli Parlimen (PH-Pasir Gudang), Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Bukit (DAP-Bukit Gelugor), Ram karpal Singh.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang turut menggunakan peraturan mesyuarat agar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memberi perhatian dan mempertimbangkan isu berkenaan sebagai mana diumum oleh Menteri Undang-undang, Datuk Takiyuddin Hassan yang dianggap telah mengelirukan dewan.

Setelah hampir 40 minit bertegang urat, akhirnya Takiyuddin bangkit dan meminta supaya diberi laluan kepada beliau menjelaskan situasi yang berlaku.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu memberitahu Dewan Rakyat bahawa pada hari pertama sidang khas berkenaan berlangsung Isnin lalu telah diadakan satu mesyuarat khas yang dihadiri beberapa orang menteri dan ahli Parlimen di blok pembangkang.

Turut hadir pada mesyuarat itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, berdasarkan saranan Dr Noor Hisham menyarankan agar mesyuarat khas kali ini tidak dijalankan ekoran situasi semasa negara terhadap penularan wabak Covid-19 yang agak membimbangkan.

Penjelasan Takiyuddin itu bagaimanapun tidak meredakan keadaan sebaliknya, pembangkang terus mendesak supaya perkara-perkara yang dibangkitkan diberi perhatian oleh Speaker.

Selepas hampir sejam berlalu, Azhar kemudiannya meminta ahli-ahli Parlimen bertenang bagi memulakan aturan mesyuarat untuk pembentangan oleh Zafrul.

Pembentangan berhubung soal kebajikan, sosial ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat akhirnya dimulakan tepat pukul 11 pagi. – MalaysiaGazette