KUALA LUMPUR – Sebanyak 67 premis melibatkan kilang dan perniagaan diarah tutup oleh Pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang menjalankan tugas pemantauan serta penguatkuasaan pematuhan SOP di seluruh negara semalam.
Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, premis itu diarah tutup kerana melanggar SOP ditetapkan.
Menurut beliau, dalam operasi semalam, sebanyak 93,420 pemeriksaan dan snap check Covid-19 telah dijalankan dan dari jumlah itu 67 premis diarah tutup serta merta.
Dalam pada itu, katanya, pemeriksaan juga dilakukan ke atas 2,025 kilang, 15,573 premis perniagaan, 923 tapak pembinaan dan 367 asrama penempatan pekerja.
Berhubung keingkaran orang ramai mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula, beliau menyatakan, seramai 222 individu dikenakan kompaun dan enam direman.
Sementara itu, Operasi Benteng bagi kawalan sempadan negara pula hanya seorang pendatang asing tanpa izin ditangkap dengan lima kenderaan darat dirampas.
Kata Hishammuddin, operasi itu melibatkan tentera, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan beberapa agensi lain.
Selain melakukan operasi, pasukan itu juga terlibat dalam Operasi Penawar di 836 Sekatan Jalan Raya (SJR), Operasi Benteng yang melibatkan polis, tentera dan Rela (45 SJR) dan Operasi Benteng AKSEM (sembilan SJR) di seluruh negara.
Mengenai operasi disinfeksi Covid-19, beliau berkata, operasi itu dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan.
Sehingga hari ini, sebanyak 34,989 operasi disinfeksi telah dilakukan, dengan semalam sebanyak 217 operasi iaitu 77 di zon merah, satu di zon jingga dan tiga di zon kuning. – MalaysiaGazette