Shahir Adnan

KUALA LUMPUER – Kerajaan Perikatan Nasional diharap mengambil teguran Yang di Pertuan Agong dengan hati yang terbuka demi kestabilan politik negara.

Dewan Pemuda Ikatan menjunjung kasih titah Yang di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan perasaan dukacita berhubung pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat berharap Kerajaan Perikatan Nasional mengambil tanggungjawab di atas kekhilafan yang berlaku dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong demi kesejahteraan negara kita.

Ketuanya, Shahir Adnan membidas pembangkang juga kini umpama menangguk di air keruh kerana cuba mengambil kesempatan daripada keadaan kekalutan Perikatan Nasional demi kepentingan atau keuntungan politik pembangkang.

”Secara jujurnya, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama empat hari tidak menampakkan kesungguhan dan keikhlasan Ahli-Ahli Dewan Rakyat, terutama blok pembangkang yang mahu membincangkan isu rakyat dan penyelesaian Covid-19.

”Selama empat hari berlangsung, Dewan Rakyat menjadi medan kata-kata kesat, jeritan bak hilang akal dan tiada adab sebilangan Ahli-Ahli Dewan Rakyat pembangkang. Desakan mahu bicarakan keluh kesah rakyat hanyalah retorik politik murahan, sebelum Parlimen bersidang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, seharusnya semua pihak bersatu hati bersama Kerajaan Perikatan Nasional untuk membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19.

Menurut beliau, pertukaran kerajaan atau penubuhan kerajaan sementara tidak akan membantu rakyat kerana ahli-ahli politik akan sibuk mencatur kepentingan politik mereka dengan “bos” baru.

”Itulah realiti politiking di negara kita. Akhirnya, rakyat masih terabai,” ujarnya yang menyeru semua pihak kekal fokus dan bersatu demi manfaat rakyat
Malaysia.

Tambah Shahir: “Ingatlah, taruhan percaturan politik pada waktu ini adalah nyawa-nyawa rakyat yang tidak berdosa. Berentaplah secara “gentleman” pada PRU-15 nanti”. – MalaysiaGazette