Orang ramai yang memakai baju berwarna hitam hadir untuk menyertai himpunan #Lawan sebagai protes terhadap pentadbiran kerajaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil dan mengambil keterangan kesemua individu termasuk penganjur himpunan ‘Keluar dan #Lawan’ yang diadakan di ibu negara hari ini tidak lama lagi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan dan mengenal pasti kira-kira 400 peserta yang menyertai himpunan tersebut.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak ada sesiapa pun dibenarkan berhimpun atau terlibat dalam apa jua perhimpunan walaupun itu perhimpunan aman bagi maksud sosial, sukan, keagaaman, ia adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Tindakan berhimpun itu melanggar arahan PKP sama ada di mana-mana tempat atau premis, jadi kita akan ambil tindakan kepada semua yang terlibat, kita akan kenal pasti semua,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, himpunan di Jalan Tun Perak itu bermula sekitar pukul 11 pagi tadi.

Bagaimanapun, polis telah menghalang peserta himpunan terbabit daripada memasuki kawasan Dataran Merdeka.

“Kita halang kumpulan terbabit daripada memasuki kawasan itu dengan menutup laluan keluar dan masuk menyebabkan mereka hanya berarak di luar Dataran Merdeka.

“Pihak polis juga sudah memberi masa secukupnya untuk mereka berkumpul sebelum diarahkan bersurai pada pukul 12.30 tengah hari.

“Proses itu (bersurai) dalam keadaan aman dan tiada sebarang penahanan dibuat,” ujarnya.

Tambah Mohamad Zainal, kira-kira 300 anggota dan pegawai polis terlibat dalam penugasan mengawal keselamatan di lokasi perhimpunan itu.

Jelas beliau lagi, berdasarkan pemerhatian polis, kesemua individu yang menyertai himpunan itu mengenakan pelitup muka namun mereka agak sukar mengamalkan penjarakan fizikal terutama ketika bergerak dari hadapan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek menuju ke Dataran Merdeka.

“Kita juga percaya pengajur himpunan itu adalah pihak sama yang terbabit dalam penganjuran himpunan sebelum ini.

“Tindakan terhadap pihak yang terbabit dalam perhimpunan ini akan diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Terdahulu himpunan yang membabitkan individu memakai baju T berwarna hitam itu berlangsung kira-kira dua jam sepanjang Jalan Tun Perak dan berarak secara aman sambil membawa pelbagai sepanduk serta plakad. – MalaysiaGazette