Azlan Man

KANGA – Kerajaan Perlis mahu aktiviti merentas negeri melibatkan tenaga kerja serta ziarah tidak dibenarkan atau dihadkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata, data daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis menunjukkan sebahagian besar peningkatan kes COVID-19 di negeri ini berpunca daripada aktiviti rentas negeri.

Azlan berkata individu terbabit merentas negeri dengan kebenaran pihak berkuasa dan terdapat juga mereka yang tinggal di Perlis berulang-alik ke tempat kerja dengan merentas negeri setiap hari, selain ada yang tinggal di luar Perlis tetapi bekerja di negeri ini.

“Selain itu, ada yang menziarahi kematian atau rentas negeri kerana alasan kesihatan seperti bersalin.

“Pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan datang saya akan cuba syorkan supaya aktiviti rentas negeri yang melibatkan tenaga kerja kerajaan dan swasta serta ziarah tidak dibenarkan atau dihadkan. Tapi ini tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Mesyuarat Khas MKN,” katanya menerusi akaun laman sosial Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 masih berpotensi untuk menyebarkan virus itu walaupun telah mempunyai imuniti diri.

Selain itu, Azlan berkata beliau akan mencadangkan agar Perlis memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada mesyuarat tersebut, kerana negeri itu sudah pun memenuhi ketiga-tiga syarat ambang yang ditetapkan.

Mengulas mengenai dakwaan kehadiran penduduk Bukit Malut, Langkawi ke Perlis susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu selama 14 hari bermula 27 Julai lepas, Azlan berkata pihak berkuasa telah mula mengawal jalan raya dan laluan laut untuk mengelak pembolosan penduduk kawasan itu ke Perlis.

“Saya beranggapan situasi ini tidak mustahil boleh berlaku. Juga tidak mustahil mereka ini yang bergejala boleh menyebarkan virus ini dialam kalangan penduduk tempatan Perlis khususnya di Kuala Perlis.

“Oleh itu, jika disahkan ada individu berkenaan dilihat di tempat-tempat tertentu, saya harap orang awam dapat melaporkan segera kepada pihak berkuasa berkenaan terutamanya pihak polis,” katanya, sambil menambah sehingga kini belum ada kes positif di Kuala Perlis yang berpunca dari penduduk Bukit Malut.

Azlan turut berharap rakyat Perlis akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih ketat.

Sementara itu, JKN Perlis dalam kenyataannya memaklumkan sebanyak 21 kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan di Perlis hari ini.

Kenyataan berkenaan menyebut daripada jumlah itu, sembilan kes merupakan kes tempatan, satu kes import dan 11 kes melibatkan perpindahan tahanan ke Pusat Koreksional Perlis. – MalaysiaGazette