Parlimen Malaysia menyaksikan pertukaran tiga kerajaan dalam tempoh tiga tahun selepas BN kalah PRU14.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) didakwa telah sengaja menghalang dan mematikan kesuburan sistem demokrasi dan semak imbangĀ  melalui institusi Parlimen negara ini.

Ahli-Ahli Parlimen Parti Warisan, Muda, Parti Sarawak Bersatu dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mendakwa, sejak hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang bermula pada 26 Julai lalu telah membuktikan ketidaksungguhan kerajaan dalam mentadbir urus negara terutama dalam membendung wabak Covid-19.

“Kami mengambil serius berkenaan penzahiran dukacita Yang di-Pertuan Agong terhadap Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takyuddin Hassan dan (Peguam Negara) Tan Sri Idrus Harun yang telah gaga dalam menjalankan titah dan perkenan Seri Paduka Baginda supaya cadangan pembatan semua Ordinan Darurat perlu dibentang, dibahas da seterusnya diungkaikan di Parlimen.

“Asas dan tunjang kepada Perlembagaan Negara ini haruslah dipertahankan dan perlu diterjemah melalui tindakan secara profesional tanpa wujudnya faktor fear and favour yang memungkinkan asas utama bagi suatu pentadbiran yang telus dan berintegriti tercalar,” kata mereka menerusi kenyataan bersama hari ini.

Menurut kenyataan yang sama, merujuk Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan, mereka mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota Kabinet meletakkan jawatan secara terhormat serta-merta.

Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau. – MalaysiaGazette