Air ketum dibungkus seperti nasi lemak bagi mengaburi mata pihak polis.

BUTTERWORTH – Bungkus air ketum seperti nasi lemak elak dikesan polis.

Itu taktik sekumpulan lelaki yang aktif menjual air ketum kepada penduduk setempat di kawasan Bagan Dalam di sini sebelum dikesan pihak berkuasa.

Sebahagian daripada air ketum bersama tong ais yang dirampas pihak polis dalam serbuan di kawasan Bagan Dalam di sini.

Bagaimanapun ia terbongkar selepas pihak polis menahan tiga lelaki yang terlibat dalam kegiatan memasak dan menjual air ketum dalam dua serbuan hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan pertama dibuat di sebuah pondok hadapan Flat Bagan Dalam pukul 10.20 pagi.

Jelas beliau, dalam serbuan itu pihaknya menahan seorang penganggur berusia 41 tahun bersama 10 bungkus air ketum.

Noorzainy.

Kata Noorzainy, semakan mendapati suspek itu mempunyai 14 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Susulan itu, kita serbuan sebuah kedai nasi lemak di kawasan rumah Pangsa Sri Bagan pada pukul 10.40 pagi yang membawa kepada penangkapan dua lelaki berusia 23 dan 44 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut pihak polis  menemui 208 bungkus air ketum dan ada beberapa daripadanya dibungkus seperti bungkusan nasi lemak yang dijual pada harga RM10.

Pegawai serbuan menunjukkan daun ketum yang ditemui dalam periuk masak.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas pelbagai peralatan memasak air ketum termasuk daun ketum dalam periuk besar,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Noorzainy, hasil siasatan lanjut mendapati kesemua suspek aktif menjual air ketum sejak enam bulan lalu untuk penduduk setempat.

“Air ketum itu akan dibungkuskan seperti nasi lemak sebelum dijual pada harga RM10.

Sebahagian air ketum disembunyikan dalam tong ais.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan termasuk mengenal pasti dari mana mereka peroleh bekalan daun ketum tersebut,” ujar Noorzainy.

Kesemua mereka direman bantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – MalaysiaGazette