Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman

KUALA LUMPUR – Dua pegawai kepada Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman disahkan positif Covid-19. 6th

Ahmad Tarmizi berkata, keputusan kedua-dua pegawainya itu diperolehi selepas saringan Covid-19 yang dilakukan pada 29 Julai lalu di bangunan Parlimen.

“Buat masa ini, mereka kuarantin di Pusat Khidmat Parlimen Sik.

“Pejabat juga terpaksa ditutup selama dua minggu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi turut menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Untuk elak perkara yang tak diingini, isteri dan anak-anak tinggal di tempat lain buat sementara waktu.

“Parlimen ada banyak kes, dah jadi kluster,” katanya lagi.

Terdahulu, sesi Persidangan Khas Parlimen pada Khamis lalu ditangguhkan berikutan terdapat empat kes yang membabitkan pegawai-pegawai dan kaki tangan di sana.

Pada hari sama, semua yang berada di bangunan Parlimen dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19.

Susulan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noorhisham Abdullah mengesahkan terdapat 0.8 peratus kakitangan dan pegawai Parlimen disahkan positif Covid-19.

Sidang Khas Parlimen juga ditangguh selama dua minggu bagi membendung penularan kes Covid-19 di bangunan Parlimen. – MalaysiaGazette