KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan meningkatkan sistem keselamatan siber bagi mengelak berlaku insiden tidak diingini melibatkan penggunaan media sosial.
Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Muez Abdul Aziz berkata, sepanjang empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 3,647 laporan insiden keselamatan siber dilaporkan.
Katanya, insiden itu melibatkan penipuan dalam talian, pencerobohan, kod jahat dan gangguan siber.
“Akibat insiden ini, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga turut menerima kesannya.
“Oleh itu, kita telah meningkatkan sistem keselamatan dan hanya sumber yang berautoriti sahaja dibenarkan untuk memuat naik bahan yang telah diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Pemerkasaan Media Sosial Rasmi Kementerian Pertahanan secara atas talian, hari ini.
Menurut Muez, setiap maklumat yang disampaikan perlu terlebih dahulu melalui tapisan keselamatan dan mendapat kelulusan bagi memastikan yang dimuat naik itu adalah tepat, sahih dan benar.
Ini katanya, untuk memastikan sistem keselamatan terjaga daripada sebarang ancaman siber yang semakin meningkat pada masa kini.
Beliau menasihatkan warga Kementerian Pertahanan dan ATM agar menyemak segala fakta dan berhati-hati dalam penyebaran sebarang maklumat memandangkan organisasi itu mempunyai isu sensitif melibatkan aset dan sebagainya.
“Sebarang ketidakpastian maklumat hendaklah dirujuk kepada kementerian atau pasukan yang bertanggungjawab memandangkan trend penyebaran berita palsu menggunakan media sosial agak meruncing.
“Suka saya ingatkan, sebagai penjawat awam dan ATM kita tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 serta Akta Angkatan Tentera 1972.
“Dari itu, elakkan terjebak dengan penularan berita palsu sama ada melalui aplikasi WhatsApps, SMS mahupun komen negatif di media sosial yang boleh memudaratkan diri dan perkhidmatan,” katanya.
Kata Muez, kementerian tidak akan berkompromi, malah mengambil tindakan sewajarnya ke atas warganya yang terlibat.
Dalam pada itu, menurut beliau lagi, sepanjang negara berdepan isu pandemik Covid-19, media sosial rasmi Kementerian Pertahanan telah berperanan penting dalam penyebaran maklumat kerajaan.
“Sebagai sebuah organisasi keselamatan, kementerian menyokong penuh setiap usaha dan langkah diambil kerajaan dalam hal penyebaran maklumat.
“Selain itu, kita juga tidak hanya memfokuskan kepada penyebaran Covid-19 semata-mata, bahkan peranan media sosial kita lebih menyeluruh dengan menjadi salah satu sumber penyampaian aktiviti kementerian, ATM dan agensi di bawahnya,” kata beliau. – MalaysiaGazette