Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hamid bercakap kepada media selepas memberi keterangan terlibat dalam perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu berjalan keluar selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai kuasa penuh untuk menghentikan operasi sektor perkilangan yang didakwa menjadi antara penyumbang terbesar penularan Covid-19 di negara ini.

Namun Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hamid kesal apabila pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin memilih untuk menutup Parlimen berbanding menutup sektor perkilangan.

“Kita tengok semalam, mereka boleh tutup Parlimen, bagaimana kuasa besar yang mereka ada, Parlimen tidak digunakan untuk menutup kilang.

“Apa yang mereka lakukan semalam menutup jalan dan sebagainya sepatutnya boleh dibuat pun untuk menutup kilang, tapi tidak dibuat.

“Akhirnya mereka meletakkan kesalahan di bahu kerajaan Negeri Selangor,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Kluster tempat kerja yang membabitkan sektor perkilangan menjadi antara penyumbang terbesar kepada kenaikan kes harian Covid-19 yang mencecah lebih 17,000 kes sejak bulan lalu.

Amir melahirkan rasa harian apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor pula dipersalahkan apabila kes dalam kluster tempat kerja melonjak dalam sektor perkilangan.

“Tidak masuk akal untuk menyalahkan kerajaan negeri, tidak masuk akal untuk menyalahkan orang yang tidak ada kuasa sedangkan mereka berkuasa bukan saja boleh menutup kilang tapi mereka boleh menutup Parlimen.

“Tempat orang sepatutnya berbahas bagaimana untuk menguruskan pandemik pada masa akan datang, pula ditutup,” katanya lagi. – MalaysiaGazette