IMBAS. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama ahli-ahli parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka sebelum bergerak menuju ke Jalan Parlimen berikutan tidak dibenarkan masuk ke dalam Parlimen, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau tidak seharusnya hadir ke perhimpunan ahli-ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka semalam.

Menurutnya, perhimpunan itu juga tidak seharusnya berlangsung secara fizikal tetapi boleh dilakukan secara maya sahaja.

“Saya mengakui buat silap. Semalam, saya hadir ke perjumpaan wakil rakyat. Pada asalnya, saya nak duduk dalam kereta sahaja, tak payahlah keluar sebagai tanda sokongan.

“Tapi bila sampai si situ, orang dah ramai kumpul bagi syarahan. Saya pun pergi sama dan saya duduk dekat rumah orang,” katanya di dalam Forum Reset Malaysia: Solusi Selamatkan Malaysia hari ini.

Dr. Mahathir berkata, sejurus pulang daripada perhimpunan itu, beliau telah melakukan saringan Covid-19.

“Saya test sekali lagi, jawapannya negatif. Tetapi perkara itu tak harus saya lakukan (berkumpul). Sepatutnya, perjumpaan seumpama itu juga tidak harus diadakan. Kalau kita nk lakukan perjumpaan, kita boleh buat perkara itu secara zoom,” katanya.

Jelas beliau lagi, semua orang perlu berhati-hati kerana tidak mahu membahayakan ahli keluarga lain.

Semalam, sekumpulan ahli Parlimen pembangkang bertindak berarak menuju ke Parlimen selepas membuat ucapan ringkas di Dataran Merdeka.

Bagaimanapun cubaan tersebut tidak berhasil apabila mereka dihalang oleh anggota polis yang menjalankan kawalan ketat di Bulatan Dato Onn.- MalaysiaGazette