Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN –  Kebiadaban ahli menteri Kabinet tidak boleh dipandang ringan memandangkan perkara tersebut tidak seharusnya berlaku terutamanya apabila menyentuh perkara berkaitan institusi diraja.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemimpin bertaraf menteri perlu mempunyai sikap penghayatan Rukun Negara lebih mendalam untuk dijadikan tauladan.

“Saya menganggap biadab bagi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk  Zuraida Kamaruddin mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam satu program televisyen beberapa hari lepas.

“Terpaculnya kata-kata ini daripada seorang anggota jemaah menteri Kerajaan Persekutuan tentunya sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan apatah pula menjadi precedent yang tidak boleh dibenarkan berulang.

Jelasnya, tindakan sewajarnya hendaklah menyusul demi menegakkan prinsip-prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara, serta Kesopanan dan Kesusilaan sepertimana termaktub dalam Rukun Negara.

Wan Rosdy berkata demikian menerusi kenyataan media hari ini.

Terdahulu tindakan Zuraida yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong perlu mendapatkan penjelasan daripada jemaah Menteri sebelum mengeluarkan titah disifatkan sebagai biadab oleh ramai pihak.

Ahli Parlimen Ampang itu disifatkan demikian selepas mengulas kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebuah rancangan temubual berbahasa Inggeris oleh sebuah televisyen swasta.

Dalam pada itu, Wan Rosdy selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO menyatakan sokongan penuh kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang menyokong penuh kenyataan media oleh Presiden UMNO petang semalam atas pendirian UMNO Malaysia tentang kemelut semasa,” katanya.

Justeru, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang meminta kepemimpinan serta ahli-ahli parti pelbagai peringkat agar terus bersama-sama menyokong keputusan ini yang juga selari dengan yang telah dicapai pada Perhimpunan Agung UMNO lepas.

Tambah beliau, fokusnya ke arah menangani kemaslahatan rakyat yang sehingga kini masih terkesan dengan pelbagai langkah dan kekangan dihadapi akibat wabak pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Apa tindakan YB meh? Buat lah laporan polis supaya YB Zuraidah di heret ke mahkamah!!! Kami rakyat marhean di Oahang ni tak de duit YB, takut kalau Zuraidah saman balik!!! Nak cari makan pun susah, kes Covid dimana-mana dan vaksin pun lambat. Mohon jaga kami jugak ye YB..

Comments are closed.