Dua syarikat e-hailing, inDrive dan Maxim diarah henti operasi mulai 24 Julai ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi memaklumkan pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk menyekat dua aplikasi e-hailing iaitu inDrive dan Maxim, kata menterinya, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan berkata, sehingga kini tiada makluman diterima daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung permintaan untuk menyekat akses kepada kedua-dua platform e-hailing tersebut.

“Setakat hari ini, MCMC tidak memaklumkan kepada saya mengenai sebarang permohonan daripada Kementerian Pengangkutan untuk mengambil tindakan,” katanya dalam sidang media selepas pacsa mesyuarat Kabinet, hari ini.

Fahmi Fadzil

Jelas Fahmi, tindakan menyekat aplikasi boleh dilakukan mengikut peruntukan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun, langkah itu hanya boleh diambil sekiranya terdapat permohonan rasmi daripada pihak berkuasa berkaitan.

“Ia boleh diambil berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia, tapi kita pada waktu ini belum lagi menerima permohonan tersebut. Sekiranya diberikan, maka MCMC akan menjalankan tugas berdasarkan undang-undang yang tersedia,” jelas beliau.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan bahawa dua aplikasi e-hailing dari Rusia, inDrive dan Maxim, telah diarahkan untuk menghentikan operasi di Malaysia bermula 24 Julai ini.

Arahan itu telah disampaikan melalui surat rasmi daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Langkah itu diambil selepas kedua-dua platform didapati melanggar peraturan yang ditetapkan, termasuk membenarkan pemandu beroperasi tanpa lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah.

Pematuhan kepada lesen ini adalah satu keperluan di bawah undang-undang Malaysia.

Sebelum ini, Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia (Penghantar) turut menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap kedua-dua aplikasi tersebut.

Persatuan itu mendakwa inDrive dan Maxim beroperasi tanpa mematuhi piawaian industri dan telah menimbulkan persaingan tidak sihat kepada syarikat e-hailing lain yang mematuhi undang-undang.

Antara dakwaan lain termasuk kegagalan memastikan pemandu memiliki insurans e-hailing yang sah serta tidak menjalani pemeriksaan kenderaan secara berkala seperti yang disyaratkan.

Keadaan ini menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna yang menggunakan perkhidmatan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast