Serunding kubis hasil inovasi UMS

KUALA LUMPUR – Inovasi yang diusahakan sekumpulan pakar Universiti Malaysia Sabah
(UMS) bagi membantu komuniti tempatan menghasilkan Serunding Kubis mendapat
pengiktirafan kebangsaan.

Ketua kumpulan penyelidik, Dr Jurry Foo berkata, pihaknya telah diumumkan penerima
anugerah pingat emas bagi projek Penyediaan dan Pemasaran Serunding Kubis, iaitu satu
inisiatif membantu penduduk Ranau menghadapi isu lambakan sayur-sayuran pada Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) 1.0.

“Pada ketika itu pergerakan terhad menyebabkan para petani menghadapi cabaran untuk
memasarkan sayur-sayuran ke pasaran luar daerah dan hanya mengharapkan pembeli
daripada kalangan penduduk setempat.

“Sayur kubis merupakan sayuran paling terjejas menyebabkan para petani dan peniaga
terpaksa menanggung kerugian serta berlakunya pembaziran sayuran.

“Atas keprihatinan terhadap nasib komuniti setempat, UMS melalui Pusat Penyelidikan dan
Inovasi (kini dikenali Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS) telah melancarkan dana
penyelidikan COVID-19 bagi membantu masyarakat,” katanya.

Jurry berkata demikian ketika dihubungi pemberita berhubung pengiktirafan tersebut yang diperoleh melalui penyertaan secara maya dalam National Innovation and Invention
Competition Through Exhibition (iCompEx) 2021 anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim
Mu’adzam Shah (POLIMAS).

Menurutnya, pakar UMS yang terlibat terdiri daripada kumpulan penyelidik Fakulti Sains
Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), serta penyelidik dari Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP).

“Di sini kita mengambil tanggungjawab mencadangkan beberapa idea untuk memproses
sayur kubis menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada pada komuniti untuk meminimumkan risiko pembaziran sayuran.

“Sementara menunggu tawaran dana penyelidikan dari UMS, saya telah mengadakan
bengkel secara dalam talian tentang cara memproses sayuran termasuk kubis dalam bentuk serunding dengan menginspirasikan kaedah menghasilkan serunding Tuhau yang merupakan produk makanan tempatan popular dalam kalangan masyarakat di Ranau.

“Pada peringkat permulaan, cadangan ini mendapat tentangan umum kerana ramai yang
beranggapan sayur kubis tidak sesuai dijadikan serunding.

“Namun sekumpulan komuniti perintis telah merealisasikan idea dan resipi penyelidikan UMS dengan jayanya melalui bimbingan dalam talian,” katanya yang juga Pengarah Pusat
Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS.

Ujar Jurry, daripada makanan sampingan biasa-biasa, kini Serunding Kubis telah menjadi
produk makanan tahan lama yang mendapat permintaan menggalakkan daripada pengguna.

“Ia kini dipasarkan dalam talian secara meluas dan boleh didapati di platform e-Dagang
seperti Shoppee dan Lazada.

“Produk Serunding Kubis ini juga boleh didapati di beberapa cawangan pasar raya tempatan iaitu BATARAS dan SABINDO,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Jurry yang juga pensyarah kanan FSSK memaklumkan, penyelidikan dan
inovasi berterusan bukan sahaja membawa kepada peningkatan kualiti produk secara
berterusan malah meningkatkan keupayaan komuniti sebagai pengusaha, yang mampu
membuka peluang pekerjaan kepada golongan terjejas.

“Dalam masa sama, produk ini secara tidak langsung memberikan idea dijadikan sebagai
produk pelancongan pada masa akan datang. ‘Kibis-kibis dulu- ingat Kubis ingat Ranau’.
“Justeru, kita yakin bahawa kelangsungan produk dan keupayaan komuniti lebih terjamin
dengan penglibatan dan suntikan dana daripada banyak pihak.

“Sebagai pemegang hak cipta resipi asas Serunding Kubis, komuniti rintis yang terdiri
daripada pengusaha digalakkan bekerjasama dengan pemegang taruh lain,” katanya.
Jurry turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara
langsung atau tidak langsung.

“Saya mewakili kumpulan penyelidik mengucapkan setinggi penghargaan kepada UMS atas dana yang diberikan, kepada komuniti perintis yang merealisasikan idea inovasi sosial penyelidikan ini menjadi kenyataan.

“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), pasar raya BATARAS dan SABINDO.

“Akhir sekali rasa bersyukur atas semua kerjasama ahli-ahli penyelidikan ini dan semestinya kepada FSSK. Saya sebagai ketua penyelidik amat berpuas hati kerana matlamat inovasi sosial telah tercapai sebelum tarikh akhir malah telah memberikan manfaat kepada banyak pihak,” katanya.

Untuk rekod, projek inovasi sosial Serunding Kubis turut mendapat pengiktirafan pingat
gangsa sebanyak dua kali sebelum ini melalui sebuah pertandingan inovasi peringkat
antarabangsa dan sebuah lagi di peringkat dalaman UMS. – MalaysiaGazette