Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – KUALA LUMPUR – Melengahkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri adalah sesuatu yang meragukan dan mengelirukan, kata peguam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Beliau berkata, jika benar dan berani, usul itu perlu dilakukan sekarang, bukan dua bulan dari sekarang kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa mempunyai sokongan majoriti.

Katanya, penarikan balik sokongan beberapa orang Ahli Parlimen UMNO sebenarnya menunjukkan Perdana Menteri telah hilang sokongan majoriti, apatah lagi parti itu sendiri mengumumkan menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 4 Ogos lalu.

“Tindakan melengahkan usul undi percaya terhadap keabsahan Muhyiddin sangat tidak wajar dilengahkan kerana ia tidak lagi bersifat kontemporari dan politik ‘scheme of things’ akan terus diamalkan dalam politik negara.

“Politik harus bersih daripada rasuah dan ugutan serta perlu berasaskan politik nilai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) itu, keabsahan dan legitimasi seorang Perdana Menteri mengikut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan boleh ditentukan di Parlimen mengikut precedent kes Stephen Kalong Ningkan melalui usul undi tidak percaya.

Kaedah lain, ujar beliau, sekiranya Perdana Menteri tidak mahu meletak jawatan jika wujud keadaan hilang keyakinan majoriti Ahli Dewan, maka mana-mana Ahli Parlimen lain yang mempunyai sokongan majoriti boleh membuktikan sokongan tersebut walaupun bukan melalui Parlimen menurut precedent kes Nizar Jamaluddin.

“Apa yang berlaku hari ini adalah kebijaksanaan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan Muhyiddin membuktikan keabsahan dan legitimasi sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

“Parlimen adalah institusi dan premis sesuai serta relevan bagi Ahli Parlimen,” katanya.

Kata Faiz, kepincangan pentadbiran dan kelumpuhan ekonomi negara hari ini perlu di atasi melalui penubuhan sebuah kerajaan baharu yang stabil kerana kestabilan politik adalah asas pentadbiran negara dan pengurusan ekonomi yang cekap.

Beliau mahu Perdana Menteri baharu dilantik dari kalangan Ahli Parlimen yang diyakini majoriti Ahli Dewan Rakyat yang menolak Muhyiddin serta kerajaan PN dan perlu memiliki aura, karismatik dan kompentensi sebagai Perdana Menteri.

“Bersatulah demi negara. Rakyat amat mengharapkan perubahan ini berlaku. Jangan sampai rakyat menghukum ahli politik kerana gagal memenuhi aspirasi rakyat ini.

“Kaedah ‘win-win’ perlu dicari dan prinsip less evil’ boleh dijadikan asas,” ujar beliau. – MalaysiaGazette