KUALA LUMPUR – Golongan peladang, penternak dan nelayan perlu berfikiran kreatif dan inovatif serta sentiasa peka atas perubahan persekitaran yang berlaku.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, bagi tujuan itu, pelaksanaan kursus atau ceramah secara webinar menggunakan teknologi maklumat merupakan satu penambahan ilmu yang juga dituntut agama Islam.
“Pada hari ini iaitu bersempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan yang diraikan setiap tahun pada 6 Ogos, Lembaga Pertubuhan Peladang dengan kerjasama dari MAFI serta Jabatan/Agensi di bawahnya, menganjurkan Webinar yang bertemakan “Makanan Kita Masa Depan Kita.”
“Dalam suasana masih dengan penularan Covid-19, keupayaan kita menghimpunkan kehadiran lebih 1000 orang peladang, penternak dan nelayan di bawah webinar ini, merupakan satu kejayaan,” katanya secara maya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan yang disambut pada 6 Ogos setiap tahun.
Majlis secara maya itu turut dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Timbalan Menteri I MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri II MAFI, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.
Nik Muhammad Zawawi berkata, kesediaan semua untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan kehendak norma baru seperti penganjuran webinar itu, mencerminkan semua pihak mempunyai kekuatan mental dan fizikal dalam mengharungi cabaran semasa dan akan datang
Katanya, penganjuran webinar mempunyai beberapa kelebihan dan ia bukan sahaja boleh dilaksanakan pada kos yang sangat rendah tetap capaian penonton juga boleh meliputi kawasan geografi yang luas secara serentak.
“Kebaikan penyampaian webinar diharap dapat membantu LPP untuk mencapai beberapa objektif iaitu membantu menyampaikan pengetahuan, maklumat dan peluang-peluang yang tersedia kepada kumpulan sasar.
“Memperbaharui azam para peladang, penternak dan nelayan supaya berusaha secara berterusan meningkatkan kuantiti dan kualiti pengeluaran makanan negara.
“Dan menyediakan satu ruang kepada kerajaan khususnya MAFI untuk menyampaikan dasar pertanian dan program-program yang bermanfaatkan kepada peladang, penternak dan nelayan,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, webinar yang diadakan hari ini akan memberi peluang kepada peladang, penternak dan nelayan mendalami perkembangan kemajuan pertanian semasa serta mendengar perkongsian pengalaman usahawan yang berjaya melaksanakan projek pertanian secara komersil.
Jelasnya, para peladang, penternak dan nelayan diseru untuk menjadikan pengalaman kejayaan usahawan lain sebagai panduan atau model ikutan.
“Untuk menjadi peladang, penternak dan nelayan yang berjaya, kejayaan tidak datang sebegitu mudah. Sebaliknya, perlu ada kegigihan berusaha, disiplin, kesabaran, keazaman, tidak mudah berputus asa, bersedia belajar ilmu baru atau mendapat tunjuk ajar dari orang lain yang berpengalaman dan lain-lain faktor dorongan.
“Usaha berterusan yang disertakan dengan sifat-sifat yang (disebutkan tadi), Insyaallah akan menghasilkan kejayaan yang cemerlang,” katanya. – MalaysiaGazette