KUALA LUMPUR – Tohmahan mengatakan rasuah RM80 perlu dibayar kepada penjaga pintu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Shah Alam Convention Centre (SACC) untuk dapat masuk adalah tidak benar.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini berkata, ia hasil risikan pihaknya selepas tular mengenai perkara itu di media sosial baru-baru ini.
“Isu yang dibangkitkan adalah berkenaan satu video yang telah tular di media sosial yang mana tohmahannya adalah segerombolan individu bukan warganegara Malaysia telah beratur panjang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga menyebabkan kesesakan di PPV Shah Alam Convention Centre (SACC), Shah Alam.
“Dikatakan juga, penjaga pintu di PPV tersebut telah mendapat sejumlah wang rasuah sebanyak RM80 bagi setiap orang yang ingin mendapatkan vaksin.
“Sehubungan itu, SPRM telah menghantar pasukan pegawai risik bagi memantau tohmahan terbabit. Hasil risikan mendapati kejadian (bilangan ramai warga asing) yang berlaku adalah di PPV Pusat Konvensyen Midlands dan bukan PPV SACC sepertimana dikatakan dalam video tersebut,” ujarnya.
PPV Midlands dijadikan Program Vaksin Pekerja Industri iaitu sebahagian daripada inisiatif Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
Bagaimanapun SPRM mengakui terdapat masalah pada sistem di mana temujanji untuk individu juga terselit di PPV Midlands.
“Oleh itu, dikatakan punca kesesakan adalah daripada tindakan pekerja asing hadir tanpa janji temu bagi mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin.
“Tohmahan yang mengatakan bayaran rasuah RM80 perlu dibayar kepada penjaga pintu untuk dapat rnasuk adalah tidak benar,” kata kenyataan yang sama.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk melaporkan terus apa-apa maklurnat berhubung rasuah dengan menghubungi mana-mana pejabat SPRM dan bukannya menghebahkan di media sosial.- MalaysiaGazette