Sungai Masai yang tercemar menjejaskan nelayan.

Pasir Gudang – ‘Sungai kopi-O’ – itulah gelaran sesuai untuk Sungai Masai yang kini tercemar dengan bau busuk dan bewarna hitam sejak seminggu lalu.

Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Rinting II, Mohd Azizi Mohamad berkata, sungai sepanjang 1.5 kilometer itu diakui tidak dapat dipisahkan dengan pencemaran terutama ketika hujan.

Beliau berkata, sehingga kini tiada sebarang langkah penyelesaian jangka panjang dilakukan bagi mengatasi pencemaran yang berlaku hingga isu berkenaan berlarutan.

Mohd Azizi Mohamad

Menurutnya, berdasarkan maklumbalas diterima daripada pihak berkaitan sebelum ini, kegiatan menyalurkan air kumbahan daripada loji kumbahan berhampiran menjadi penyumbang pencemaran di Sungai Masai.

Persoalannya, sampai bila masalah berkenaan berlarutan sedangkan puncanya sudah pun dikenalpasti namun tiada tindakan bagi mengatasinya.

“Berdasarkan aduan terbaharu diterima hari ini, warna sungai ini kembali bertukar warna kehitaman dan terdapat bau.

“Saya kurang pasti apa punca masalah pada hari ini namun keadaannya sama seperti pencemaran berlaku sebelum ini. Akibatnya penduduk serta eko-sistem menjadi mangsa,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Keadaan Sungai Masai yang berwarna hitam mengundang bau busuk

Tambah beliau, selain bau yang meloyakan, penduduk yang memakan hasil laut daripada sungai berhampiran juga berisiko, selain kemusnahan habitat hidupan laut.

Lantaran itu, beliau mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan sesuai dan berkesan supaya pencemaran dapat diatasi serta tidak berulang.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz berkata, Sungai Masai menjadi lokasi utama nelayan dari perkampungan Orang Asli, Kampung Pasir Gudang Baru dan Kampung Kuala Masai mencari rezeki.

“Sungai ini dipercayai tercemar dengan bahan buangan daripada pelbagai sumber termasuk air dari loji kumbahan di Taman Bukit Dahlia dan Taman Masai Utama,” katanya.

Akibatnya, pendapatan nelayan terjejas.

Disebabkan situasi itu, ada nelayan terpaksa beralih ke kawasan yang lebih jauh seperti Kuala Sungai Johor dan Laut China Selatan untuk menangkap ikan, sekali gus ia meningkatkan kos operasi.

“Kami bukan hanya mahu mereka (pihak berkuasa) datang sekadar mengambil sampel air sungai tetapi melaksanaka tindakan sesuai perlu dilakukan,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Masai di sini.

Sementara itu, Pengarah JAS Johor Dr Famey Yusoff dihubungi berkata, pegawai Jabatan berkenaan sedang menjalankan siasatan.

“Pegawai JAS sedang siasat dan belum menyerahkan laporan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast