R. Jeyendran

KUALA LUMPUR – Aktivis dan dermawan terkenal, Datuk Seri R Jeyendran terkejut, kecewa dengan Menteri Besar Kedah yang masih boleh berseloroh dan ketawa dalam membuat kenyataan mengenai kontena jenazah.

Jeyendran yang juga pengasas dan pemilik syarikat perkapalan Maritime Networks Sdn Bhd berkata, hatinya terguris dengan cara pemimpin Pas itu menangani keadaan Covid-19 terutamanya kematian akibat pandemik itu di negeri tersebut.

Menurutnya, ketika negara ‘diserang’ Covid-19, masih ada individu yang sanggup berjenaka dengan kematian mangsa-mangsa virus itu.

”Saya terkejut, pelik, kecewa dan terlampau sedih apabila seorang pemimpin yang diamanahkan untuk menjaga sebuah negeri sanggup ‘berjenaka.

Maafkan saya wahai Menteri Besar jika teguran saya ini tidak begitu menyenangkan anda tetapi sedarkah anda apakah perasaan rakyat apabila seseorang yang kami anggap akan menjaga kebajikan dan hal ehwal mengeluarkan kenyataan seperti itu?

“Kematian berkaitan dengan Covid-19 ini bukan sesuatu yang main-main tuan. Bayangkan perasaan keluarga yang tiba-tiba hilang insan tersayang mereka dengan sekelip mata, ada yang jadi yatim piatu. Penderitaan dan tanggungan ini sungguh menyakitkan jiwa dan perasaan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tegas beliau, hakikatnya kematian itu sesuatu yang sungguh sukar untuk digambarkan walaupun dengan kata-kata atau emosi.

Hanya mereka yang mengalaminya tahu betapa peritnya kehilangan orang tersayang, ujarnya.

Maritime Networks menyumbangkan empat kontena untuk dijadikan simpanan mayat pesakit Covid-19.

Jeyandran yang sendiri turun padang untuk mengagihkan kontena-kontena berkata, hatinya meruntun apabila kali pertama dibawa ke lokasi sebuah hospital, yang mana ada jenazah terpaksa diletakkan di atas lantai.

“Kerana itu juga tanpa fikir banyak tentang perbelanjaan  Maritime Networks menyumbang kontena. Kami memberikan sumbangan kontena untuk beri penghormatan terakhir kepada mangsa, kepada yang meninggalkan kita.

“Jadi untuk berlawak jenaka dan merasakan kematian itu sesuatu yang lucu adalah sesuatu yang tidak patut langsung.

“Menteri Besar Kedah perlu lebih berhati-hati dan patut ada sifat empati pada masa depan,” katanya.

Maritime Network sumbang dua kontena simpan jenazah pesakit Covid-19

Muhammad Sanusi dalam kenyataannya semalam dilaporkan berkata, kontena jenazah mencukupi dan sesiapa hendak masuk bagi nama.

Kenyataan dalam nada berseloroh itu mendapat kecaman para netizen yang menyifatkan sebagai pemimpin tidak sensitif dengan kesedihan rakyat.

Nasihat Jeyendran lagi, ada baiknya untuk Muhammad Sanusi melakukan lawatan sendiri ke hospital-hospital yang terkesan dengan Covid-19 kerana ada hospital yang memohon  bantuan kontena untuk menempatkan jenazah.

“Memang kes positif Covid-19 meningkat begitu juga kematian sehingga ada pihak hospital yang mohon bantuan kontena. Jika cukup, tidak mungkin mereka tampil mohon bantuan.

“Saya bukan cakap begitu sahaja sebaliknya anda boleh lihat sendiri dalam laporan media malah masih ada lagi pendedahan hospital di Kedah perlukan sumbangan.

”Beberapa hari lepas, syarikat saya melalui Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh telah menyampaikan satu kontena sejuk beku ke Hospital Kulim.

“Mohon sangat-sangat kepada Menteri Besar dan pihak berwajib untuk lihat situasi itu. Keadaan pandemik ini sememangnya sungguh mencabar semua, mohon lebih ramai tampil membantu selagi yang anda mampu.

“Lagi ramai tampil lagi banyak kita dapat bantu dan kurangkan bebanan yang sedang ditanggung oleh rakyat kita sendiri, ini bukan soal kaum mahupun latar belakang. Kita semua rakyat Malaysia, susah senang kita tempuhi sama-sama,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Sanusi biadab, tidak sensitif rakyat kehilangan ahli keluarga

Hospital Kulim dapat sumbangan kontena simpan mayat pesakit Covid-19

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. JAYENDRAN……SELOROH SANUSI….SIAPA NAK MASUK NAMA….KHAS UNTUK ANWAR DAN 107 MP yang mencabar COVID 19 Kebal bagi mereka….sanggup buat PERHIMPUNAN HARAM DI DATARAN MERDEKA TU…sendiri buat sendiri tanggung JANGAN SUSAHKAN FRONTLINERS

    ANTARA YANG TERSURAT DAN TERSIRAT JAYENDRAN…mmana SUARA KAMU bila ANWARFIKUN dan PEMBANGANG PEMBANGKANG buat DEMONTRASI tu

Comments are closed.