KUALA LUMPUR – Semakin ramai tampil menyumbang dalam pelbagai cara bagi bersama-sama menangani pandemik Covid-19 yang semakin menggila saban hari di negara ini.

Maritime Network Sdn Bhd yang diasaskan oleh Datuk Seri R. Jeyendran tampil menyumbang dua kontena bernilai hampir RM100,000 yang siap diubah suai dengan sistem sejuk beku kepada hospital yang memerlukan.

Salah sebuahnya diberi kepada Hospital Shah Alam manakala sebuah lagi kepada hospital lain yang akan ditentukan tidak lama lagi.

Satu kontena bersaiz 3.71 meter persegi (40 kaki) yang mampu memuatkan hingga 30 jenazah itu disumbangkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berasaskan perkapalan itu.

Menurut Jeyendran, beliau terpanggil untuk menyumbang kontena jenazah itu setelah melihat keadaan ‘nazak’ hospital di Lembah Klang dan juga Selangor yang tidak lagi mempunyai ruang simpanan mayat pesakit Covid-19 ketika ini.

“Saya hampir menangis kerana terlalu emosi melihat ada mayat dan jenazah yang diletakkan dilantai sahaja. Bukan salah sesiapa sebaliknya pelbagai kekangan sehingga kejadian ini.

“Daripada kita menuding jari ada baiknya sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk terus tampil membantu, saya mohon kepada semua untuk juga sama-sama menyumbang mengikut kemampuan.

“Hakikatnya keadaan pandemik ini memang menakutkan dan inilah kebenarannya. Hanya dengan kita semua bersatu membantu apa yang kita mampu bersama-sama mencari penyelesaian situasi kritikal ketika ini.

“Selepas melihat sendiri ruang penyimpanan mayat semakin terhad, saya bersedia mendapatkan dua kontena sejuk beku yang boleh memuatkan hampir 60 mayat dalam satu masa dan menghantarnya ke bahagian kecemasan.

“Sebenarnya saya memang tidak sanggup tengok mayat di lantai kerana tiada kontena, ini memang satu keperluan mendesak ketika ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Majlis penyerahan yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Seri Dr Santhara Kumar kepada Pengarah Hospital Shah Alam, Dr Ruzita Othman.

Tambah Jeyendran lagi, syarikatnya juga sedang membuat perancangan untuk menyumbang lagi kontena kepada hospital namun masih dalam peringkat perbincangan.

“Saya tidak semua ini untuk publisiti memandangkan ini memang CSR kami selama ini, sebelum pandemik kami telah melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan untuk golongan memerlukan.

“Tetapi kali ini, fokusnya adalah pandemik. Memandangkan ramai juga tampil menyerahkan sumbangan bakul makanan, syarikat kami telah membuat keputusan untuk membantu hospital dan orang perseorangan.

“Saya juga sedang berkira-kira untuk membantu golongan tidak berkemampuan yang dapat menguruskan jenazah ahli keluarga yang meninggal kerana Covid-19. Tidak kira agama dan bangsa serta latar belakang.

“Kami akan bekerjasama dengan hospital dapatkan data terlebih dahulu, seandainya kes itu sangat memerlukan, saya akan tampil melakukannya melalui syarikat atau sumbangan peribadi.

“Kita akan sediakan talian khas bagi inisiatif ini kelak, nanti kita akan umum, semuanya masih dalam peringkat perancangan dan perbincangan, saya amat berharap lagi ramai akan tampil untuk usaha seperti ini, semakin kurang bebanan ditanggung,” ujarnya.

Dalam pada itu, Santhara mendedahkan, pihaknya sebelum ini telah dihubungi oleh Maritime Network untuk menyumbang kontena jenazah ke lokasi di Kuala Lumpur namun telah diputuskan oleh Kementerian Wilayah ada keperluan untuk disumbangkan ke hospital di Selangor.

“Masa ini ruang penyimpanan jenazah pesakit Covid-19 cukup jika dibandingkan di negeri Selangor. Kementerian Wilayah ada membuka Pusat Sehenti Urus Mayat (PUSUM) KL bertempat di Kompleks Sukan Institut Sukan Negara (ISN).

“Dalam usaha perangi Covid-19, kita semua perlu ketepikan perbezaan politik dan pertingkatkan kerjasama antara negeri terutamanya perkongsian maklumat sumbangan pihak swasta bagi pastikan semua aset diguna pakai secara optimum,” ujarnya. -MalaysiaGazette

MGNews: Sedih Tengok Mayat Atas Lantai, Syarikat Perkapalan Derma Kontena Kepada Hospital Shah Alam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast