CYBERJAYA – Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) dan Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) muncul juara kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri ke-51 Tahun 2026, hari ini.

SMSS menewaskan Sekolah Menengah Sains Alam Shah dalam pertandingan akhir kategori Bahasa Melayu, manakala SAS mengatasi Sekolah Menengah Sains Miri bagi kategori Bahasa Inggeris.

Kedua-dua juara membawa pulang hadiah wang tunai RM51,000, selain menjadi pasukan pertama menjulang piala baharu Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri yang diperkenalkan sempena edisi ke-51 tahun ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kejayaan kedua-dua pasukan mencerminkan usaha berterusan pertandingan berkenaan dalam mencungkil bakat bahas dan membina keyakinan murid.

“Pertandingan ini juga menyaksikan bahawa buat pertama kalinya untuk edisi yang ke-51, piala Perdana Menteri yang baharu diberikan kepada kedua-dua pasukan yang menang dengan pertambahan nilai hadiah yang juga tinggi,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan akhir di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, hari ini.

Bagi kategori Bahasa Melayu, kedua-dua pasukan berentap menerusi usul ‘Dewan ini percaya suara murid mampu memperkukuh tadbir urus sekolah’, dengan SMSS sebagai pasukan pembangkang dan Sekolah Menengah Sains Alam Shah sebagai kerajaan.

Kategori Bahasa Inggeris pula membahaskan usul ‘This House believes that schools should take on a greater share of responsibility for children’s character formation than they currently do’, dengan SM Sains Miri sebagai kerajaan dan SAS sebagai pembangkang.

Fadhlina turut memberi penghargaan kepada pasukan yang mencipta kejutan sepanjang pertandingan, termasuk sekolah yang sebelum ini tidak berada dalam radar pertandingan untuk tempoh yang panjang.

“Pasukan harapan ini sangat menarik kerana kebanyakan mereka yang telah pun tidak berada dalam radar sebelum ini, sekolah-sekolah ini, 11 tahun, 17 tahun, 15 tahun, 10 tahun dan mereka kembali sehingga masuk ke pusingan, ada yang masuk suku akhir dan juga separuh akhir,” katanya.

Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan lebih banyak sekolah mempunyai potensi untuk melahirkan bakat baharu dan mencabar pasukan yang lebih berpengalaman dalam pertandingan berkenaan.

Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri yang memasuki usia 51 tahun itu melibatkan 72 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dari seluruh negara serta Maktab Tentera Diraja sebagai sekolah jemputan pada Pusingan Awal Kebangsaan.

Sebanyak 38 pasukan terbaik mara ke Pusingan Akhir Kebangsaan sebelum hanya empat pasukan layak berentap di pentas akhir bagi dua kategori.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here