KUALA LUMPUR – Jika Kerajaan Perpaduan hanya tinggal pada nama, sedangkan prinsip dan maruah parti semakin terhakis, lebih baik Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal.
Itu pendirian Wanita UMNO Kedah yang menyokong gesaan Presiden UMNO supaya PRU16 dipercepatkan sekiranya kerjasama dalam kerajaan tidak lagi berfungsi secara substantif dan hanya menyumbang kepada ketidakstabilan politik.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Padang Terap, Suraya Mat Isa berkata, perbezaan pendapat antara parti dalam kerajaan adalah perkara biasa, namun ia tidak seharusnya sampai menghakis rasa hormat, kepercayaan dan kerjasama.
“Perpaduan kita mahu, tetapi bukan perpaduan yang mengorbankan prinsip. Kerjasama kita mahu, tetapi bukan kerjasama yang menghakis maruah,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita UMNO Malaysia dalam bidang politik.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila hubungan politik hanya kelihatan baik di hadapan, tetapi berbeza di belakang sehingga menimbulkan pertelingkahan, ketidakpercayaan dan ketidakfahaman dalam pentadbiran.
Suraya berkata, Kerajaan Perpaduan yang semakin ‘melebar’ juga perlu dinilai semula dari segi keberkesanan kerana kestabilan tidak boleh dibina hanya berdasarkan jumlah parti yang berada dalam satu gabungan.
Katanya, apabila kerjasama politik sudah sampai ke tahap menjejaskan prinsip dan maruah, kepimpinan perlu berani membuat keputusan dan tidak terus membisu demi mempertahankan sebuah formula politik.
“Kalau keadaan ini berterusan, kita perlu berani menyatakan kebenaran. Jangan kita hanya diam kerana mahu menjaga perpaduan pada nama, tetapi akhirnya prinsip dan maruah kita yang dikorbankan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ahli bahawa kekuatan UMNO tidak bergantung kepada mana-mana individu, sebaliknya terletak pada akar umbi yang terus percaya kepada perjuangan parti.
Beliau berkata kelemahan UMNO bermula apabila ahli sendiri hilang keyakinan terhadap parti, justeru jentera perlu kembali bersatu, memperbaiki kelemahan dan memperkukuh kekuatan sedia ada.
Suraya turut menyentuh siasatan terhadap pemimpin di Kedah dengan menegaskan bahawa proses siasatan perlu dihormati, namun seseorang tidak wajar dilihat seolah-olah sudah dihukum sebelum pertuduhan dibuat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO tidak melindungi mana-mana individu yang melakukan kesalahan dan mereka yang terbukti bersalah perlu dihukum mengikut undang-undang.
Beliau kemudian menyeru seluruh ahli supaya kembali bersatu dan bergerak dengan satu hati, sambil menegaskan keyakinan terhadap perjuangan, jentera dan kekuatan parti perlu dipulihkan. -MalaysiaGazette
















