KUALA LUMPUR – Ada yang sanggup datang dari Johor Bahru ke ibu kota semata-mata menyertai himpunan aman mempertahankan tiga ekor gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (D.A.K).
Ia semua didorong rasa tanggungjawab untuk memastikan hidupan liar negara terus dilindungi.
Peserta Perhimpunan Aman “Rakyat Malaysia Bersuara Kembalikan Dara, Amoi & Kelat”, Datuk Adam Malik Yunus melihat usaha mempertahankan haiwan liar sebagai tanggungjawab bersama rakyat Malaysia terutama bagi memastikan generasi akan datang masih berpeluang mengenali dan melihat haiwan seperti gajah dan harimau.

“Saya datang dari Johor Bahru sebab saya rasa ada satu tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk melindungi haiwan-haiwan liar Malaysia terutama gajah-gajah supaya generasi akan datang dapat tengok apa itu gajah, apa itu harimau.
“Sekarang kita tengok sudah berkurangan. Kalau pelancong nak datang tengok gajah, datang sahaja ke Malaysia. Bukankah itu akan dapat menambah sumber ekonomi Malaysia?” soalnya ktika ditemui di sini hari ini.
Beliau yang terlibat dalam perniagaan logistik berkata, isu berkaitan hidupan liar turut menyentuh hatinya kerana kecintaan terhadap Malaysia perlu disertai dengan usaha memelihara hutan tropika serta haiwan negara.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Malaysia yang mempunyai kelapangan masa termasuk mereka yang sudah bersara, untuk turut menyokong usaha mempertahankan kebajikan hidupan liar.
“Saya tengok dalam petisyen sudah ramai yang tanda tangan, dekat 200,000 orang. Jadi mungkin mereka tak ada masa.
“Siapa yang ada masa dan siapa yang dah bersara, punya masa, sila sertai. Semoga kita ada usaha rakyat Malaysia bersuara untuk membebaskan gajah-gajah ini,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pulangkan segera D.A.K dengan selamat, kami ada bukti gajah itu ‘terseksa’ – NGO
















