KUALA LUMPUR – MIC dan syarikat berasaskan perkhidmatan perkapalan, Maritime Network Sdn Bhd hari ini menyumbangkan sebuah kontena sejuk beku kepada Hospital Kulim, Kedah bagi menyimpan mayat pesakit Covid-19.

Naib Presiden MIC Kebangsaan, Datuk C Sivarraajh berkata, kontena sejuk beku itu akan membolehkan Hospital Kulim menyimpan sekurang-kurangnya 40 mayat pesakit Covid-19.

“Saya hantar satu unit kontena sejuk beku untuk kegunaan Hospital Kulim untuk menempatkan  jenazah pesakit Covid-19 yang juga merupakan sumbangan bersama-sama dari Datuk Seri R Jeyendran (Pengasas Maritime Network Sdn Bhd).

“Sayu tengok keadaan frontliners yang semakin hari semakin penat menguruskan pandemik ini. Kes di Daerah Kulim pun semakin hari semakin bertambah,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Kedah mencatatkan kes positif baharu ketiga tertinggi Covid-19 pada hari ini selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan 1,446 kes berbanding semalam 1,371 kes semalam.

Sebelum ini, dua hospital di Kedah iaitu Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani memohon bantuan kontena sejuk bagi menempatkan jenazah dan mayat pesakit Covid-19.

Semalam Malaysia mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu 257 kes dengan jumlah kumulatif meningkat kepada 9,855 kes. -MalaysiaGazette