Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik membidas tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang memberi fokus kepada penukaran nama Politeknik Balik Pulau berbanding kebajikan penuntutnya.

Muhammad Bakhtiar berkata, proses penukaran nama itu semestinya akan menelan sejumlah kos kerana akan berlaku penukaran logo, surat rasmi, infrastruktur seperti papan tanda dan sebagainya.

“Lebih baik peruntukan itu disalurkan kepada penuntut yang masih mempunyai masalah untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), misalnya daripada segi mendapatkan komputer riba seperti mana yang telah dijanjikan oleh kerajaan.

Muhammad Bakhtiar.

“Selain itu, penukaran nama Politeknik Balik Pulau tidak sewajarnya berlaku kerana nama sedia ada menjadi simbolik kepada lokasi Politeknik dan kebanggaan warga setempat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri KPT, Datuk Mansor Othman dalam hantaran di Facebook miliknya memaklumkan Politeknik Balik Pulau (PBU) ditukarkan nama kepada Politeknik Tun Hamdan Sheikh Tahir.

Mansor berkata, pertukaran itu berdasarkan kepada nama tokoh pendidikan Allahyarham Tun Hamdan Sheikh Tahir yang telah banyak memberi sumbangan di Negeri Pulau Pinang.

“Beliau merupakan mantan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia dan pernah memegang beberapa jawatan penting di Kementerian Pendidikan Malaysia,”katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Bakhtiar berkata, beliau menyanjung tinggi dan menghargai sumbangan Tun Hamdan kepada negara, namun kebajikan penuntut lebih perlu menjadi keutamaan tambahan pula dalam suasana pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast