Rizam Ismail
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Rizam Ismail

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Selangor tidak menolak kemungkinan perpecahan dalam parti Melayu itu boleh berlaku sekiranya pendirian wakil rakyatnya sama ada ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Negeri lebih utama daripada keputusan parti.

Ketuanya, Datuk Rizam Ismail berkata, beliau sendiri memilih untuk mentaati arahan UMNO dan disebabkan perkara itu juga beliau masih kekal menjadi Ketua Pembangkang di Selangor kerana keutamaan beliau kepada parti dan bukan kepentingan peribadi.

“Sekiranya keputusan individu ataupun keputusan ahli Parlimen diambil kira lebih utama daripada keputusan parti, percayalah parti berada dalam keadaan bahaya, perpecahan pasti berlaku.

“Saya menjadi pembangkang di Selangor dan saya kekal sebagai pembangkang kerana keputusan parti. Kalau keputusan ADUN UMNO lebih utama daripada keputusan parti, berkemungkinan saya boleh jadi ADUN kerajaan

“Tetapi sudah pasti ianya tidak berlaku kerana parti tidak membenarkan. Atas sebab itu apa pun pertimbangan kita keputusan parti wajib dipatuhi,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Selasa lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menarik sokongan daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat, selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Menurut Ahmad Zahid, kenyataan terbaharu perdana menteri Selasa lalu mengenai usul membahaskan Ordinan Darurat akan dibuat pada sidang Parlimen September ini juga menyerlahkan kekhilafan kerajaan.

Pendirian MKT UMNO itu sejajar dengan perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, manakala surat akuan Ahli Parlimen UMNO yang mencukupi bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri juga telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette