MELIHAT kepada perkembangan semasa penularan penyakit COVID-19 di negara ini,
situasinya amat membimbangkan. Hampir dua minggu peningkatan jangkitan mencecah
belasan ribu pesakit berbanding sebelum ini. Meskipun kadar kebolehjangkitan Covid-19
Ro/Rt untuk seluruh negara adalah 1.07, namun kadar kebolehjangkitan di beberapa buah
negeri masih menunjukkan perkembangan yang menakutkan.
Ini menunjukkan kes sporadik semakin meningkat di dalam jangkitan komuniti tidak kira sama ada berada di bandar mahupun di luar bandar. Dalam kemelut wabak COVID-19 yang semakin meruncing ini, timbul pula ura-ura daripada sebahagian pakar yang mengesyorkan penggunaan ubat Ivermectin. Pada awalnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat tidak memberikan sebarang respon terhadap cadangan tersebut.
Dalam bahasa mudahnya, KKM tidak mengambil cadangan tersebut sebagai prosedur rawatan COVID-19. Tindakan tersebut sedikit sebanyak menimbulkan pelbagai spekulasi dan persoalan terhadap pihak berwajib. Hal ini kerana, semakin banyak kajian yang menunjukkan keberkesanan Ivermectin dalam merawat pesakit COVID-19.
Malah, dari segi keselamatan Ivermectin terhadap manusia, dilaporkan ianya boleh disifatkan sebagai ubat dalam kategori selamat. Menurut Prof. Mustafa Ali Mohd yang merupakan pakar Farmakologi dan Taksikologi, beliau mempersoalkan tentang tindakan kerajaan tidak memberikan sebarang rawatan kepada pesakit COVID-19 semasa tempoh kuarantin di pusat-pusat kuarantin. Sedangkan, terdapat 50 lebih negara mencatatkan kesan positif dalam ujian klinikal dalam penggunaan Ivermectin.
Menurut beliau, Ivermectin adalah berkesan kepada pesakit di tahap awal bagi mengelakkan golongan ini menjadi lebih kritikal iaitu tahap ke-4 dan ke-5. Dari segi logiknya, pandangan beliau dalam isu ini perlu dipertimbangkan. Hal ini kerana, pihak KKM perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan. Dalam erti kata lain, selain meneruskan usaha pemberian vaksin, pihak kerajaan juga perlu menyediakan alternatif
kepada masyarakat dalam mengekang penularan virus khususnya melibatkan kematian akibat wabak ini.
Mana tidaknya, program vaksinasasi negara memakan masa yang panjang. Keutamaan diberikan kepada golongan tertentu. Sedangkan kehidupan masyarakat perlu diteruskan seperti sedia kala. Ini bermakna, ada pihak yang terpaksa menempuh kehidupan dalam keadaan tidak mempunyai protection daripada vaksin akibat belum tiba giliran.
Di samping itu, apa yang lebih membimbangkan adalah tentang keberkesanan vaksin
COVID-19.
Sedia maklum bahawa, vaksin COVID-19 dibenarkan penggunaannya atas tiket
authorised for emergency use. Ini bermaksud, kajian yang sempurna masih belum dapat
dihasilkan. Buktinya, sehingga kini keberkesanan vaksin yang disuntik ke dalam masyarakat di negara ini berhadapan dengan pelbagai penemuan baharu. Pertama tentang keberkesanannya untuk melawan mutasi virus baharu iaitu varian Delta. Kedua, penemuan tentang bilangan dos yang diperlukan untuk mewujudkan imuniti bagi melawan COVID-19.
Malah, lebih membingungkan ialah jangka hayat keberkesanan vaksin ini. Umpamanya,
terdapat pandangan yang menyatakan bahawa vaksin pfizer perlu disuntik 6 bulan sekali atau setiap tahun sekali. Penemuan-penemuan baharu tentang vaksin COVID-19 ini akhirnya menimbulkan satu persoalan lebih besar iaitu adakah suntikan vaksin benar-benar menjadi solusi keluar dari kemelut wabak COVID-19?
Sungguhpun begitu, perlu ditegaskan bahawa masyarakat perlu mengambil langkah
proaktif untuk mendapatkan suntikan seperti yang disarankan. Bukan sebaliknya, mengambil langkah tidak wajar seperti memboikot atau bertindak seperti golongan anti-vaksin. Hal ini kerana, apapun status vaksin COVID-19, ianya telah melalui ujian klinikal yang panjang. Malah, pemantauan yang rapi disediakan oleh pihak kerajaan bagi meneliti sebarang bentuk kesan sampingan yang memudaratkan kepada penerima.
Mengenai Ivermectin, kerajaan disaran untuk mengambil langkah proaktif bagi
mengkaji lanjut segala dakwaan yang timbul bagi menentukan keberkesanan Ivermectin.
Tidak dinafikan usaha yang telah dilakukan oleh KKM melalui ujian awal Ivermectin
terhadap 500 pesakit COVID-19. Namun begitu, usaha yang lebih proaktif harap dapat
diambil oleh pihak ini dalam menentukan status Ivermectin. Ini sebagai langkah menyediakan alternatif kepada golongan yang masih belum menerima suntikan vaksin mahupun menampung kekurangan vaksin COVID-19.
Malahan juga, mereka yang menerima suntikan tidak bermakna terhindar dari sebarang jangkitan wabak ini. Bermaksud, sekiranya kerajaan bertindak proaktif dalam mengenal pasti kedudukan sebenar Ivermectin dalam rawatan COVID-19, maka sudah pasti ia boleh digunakan sebagai ikhtiar rawatan jika didapati ubat ini benar-benar berkesan.
Dalam konteks semasa, mungkin tidak keterlaluan sekiranya dibenarkan penggunaan
Ivermectin dalam kalangan masyarakat dengan pemantauan ketat oleh pihak KKM melalui
kerjasama agensi kerajaan yang lain. Dalam hal ini, teknologi seperti block chain boleh
dimanfaatkan bagi mengawal penjualan dan pembelian ubat ini. Sebenarnya, langkah
menghalang penjualan terus ubat ini dari pasaran yang sah seperti Farmasi dan Klinik dilihat lebih mengundang bahaya.
Pihak berwajib perlu sedar, keadaan masyarakat sedang kritikal dengan jangkitan wabak COVID-19 dalam kalangan keluarga. Dalam keadaan ini, sudah tentu mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan kesembuhan anggota keluarga. Ini bermakna, jika masyarakat mempercayai dakwaan Ivermectin memberi kesembuhan, maka usaha mendapatkan bekalannya akan diteruskan walaupun melalui pasaran gelap yang mungkin berhadapan dengan isu pemalsuan ubat. Oleh kerana itu, mungkinkah tiba masanya KKM membenarkan kegunaan ubat ini dalam keadaan authorised for emergency use dengan pemantau yang rapi.
Dr. Norhidayah Pauzi
Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Kuala Lumpur &
Dr. Muhammad Safwan Harun
Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Kuala Lumpur
Artikel ini merupakan sebahagian daripada dapatan projek penyelidikan di bawah geran “Isu Etika Dalam Percubaan Klinikal Dari Perspektif Hukum Islam Untuk Menangani Penyakit Berjangkit” (GPF072B-2020).