Penduduk, Zarina Mohd bersama adik, Zulraidah Mohd dan anaknya, Ili Atiqah Shahruddin yang sudah menerima dua dos vaksin menonton Perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Kepada individu yang sudah menerima vaksin lengkap dan menetap di negeri Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) –  kerajaan membenarkan mereka melakukan perjalanan rentas daerah mulai 10 Ogos ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu pengumuman khas berkata, seseorang individu hanya diiktiraf individu lengkap vaksinasi apabila penerima jenis vaksin dua dos yang sudah melepasi hari ke-14 suntikan dos kedua manakala jenis vaksin satu dos pula perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

Namun kemudahan-kemudahan yang diumumkan ini hanya tertakluk kepada mereka yang menetap di negeri yang sudah berada di bawah fasa dua dan seterusnya dalam PPN.

Bagi individu yang hendak perjalanan rentas daerah, mereka mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 terlebih dahulu.

“Individu berkenaan perlu menunjukan sijil digital itu  kepada petugas keselamatan di sekatan jalan yang menunjukkan mereka sudah menerima vaksinasi lengkap,” katanya.

Selain itu, kata Muhyiddin, individu yang sudah lengkap vaksinasi juga dibenarkan untuk dine-in atau makan di restoran bermula Selasa ini.

“Saya nasihatkan orang ramai dine-in bila perlu sahaja dan tidak meluangkan masa terlalu lama. Pilihlah premis yang mempunyai sistem pengudaraan baik,” ujarnya.

Menurutnya, aktiviti dine-in masih memberi risiko tinggi kerana pelitup muka dibuka ketika makan dan berbual bersama rakan ketika makan di meja dan ini mendedahkan jangkitan namun mahu pengusaha premis memastikan soal prosedur operasi standard.

Kata beliau, turut dibenarkan ialah aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka termasuk separa terbuka bermula pukul 6 pagi hingga 10 malam.

“Aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama dibenarkan melibatkan homestay dan hotel,” jelasnya.

Dalam pada itu kata beliau, seandainya SOP tidak dipatuhi  maka kelonggaran yang diberikan ini akan ditarik kembali oleh pihak berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan dan siasatan. -MalaysiaGazette