CALIFORNIA – Anggota bomba terus giat memadamkan kebakaran belukar di utara California yang menjadi kedua terbesar dalam sejarah negeri ini.
Kebakaran yang digelar Dixie Fire itu telah memusnahkan hampir semua bandar Green Rush yang bersejarah di Greenville dan pihak berkuasa memberi amaran ia memerlukan beberapa minggu untuk memadamkannya.
Pada masa ini terdapat 11 kebakaran besar di negeri ini dan setakat ini hanya 21 peratus kebakaran yang dapat dibendung.
Pasukan bomba perlu bersiap sedia untuk berdepan dengan suhu lebih tinggi 38C (100F) dalam beberapa hari lagi.
Kebakaran yang bermula 13 Julai lalu telah memusnahkan 463,000 ekar kawasan.
Saiz Dixie Fire ini adalah kedua terbesar berbanding Complex Fire yang telah membakar lebih daripada satu juta ekar.
Setakat ini tiga orang dilaporkan hilang manakala ribuan penduduk dipindahkan.
Sebanyak 39% Pumas County berada di bawah perintah pengosongan.
Dixie Fire yang meranapkan Greenville pada Rabu lalu kini mengancam pekan kecil Crescent Mills, kira-kira tiga batu di tenggara Greenville.
Pihak berkuasa telah memberi amaran tahap kelembapan yang rendah telah menjadikan kawasan ini rentan terhadap kebakaran dan cepat merebak.
Menurut Pusat Kebakaran Nasional, 15 negeri di negara ini sedang berdepan dengan kebakaran belukar dengan kira-kira 107 kebakaran besar belukar yang menghanguskan lebih dari dua juta ekar kawasan.
Ia memberi amaran tentang “potensi tinggi untuk aktiviti kebakaran hutan yang teruk di seluruh Amerika Syarikat barat sepanjang musim panas hingga musim gugur.”
Perubahan iklim meningkatkan risiko cuaca panas dan kering yang mungkin menimbulkan kebakaran hutan.
Pemanasan dunia telah meningkat sekitar 1.2C sejak era perindustrian bermula dan suhu akan terus meningkat kecuali pemerintah di seluruh dunia melakukan pengurangan tinggi terhadap pelepasan gas rumah hijau. – BBC