Adzli.

SUNGAI PETANI – Seorang warga emas ditahan bagi membantu siasatan dengan sengaja memuat naik video mengaibkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor serta boleh membawa kepada perpecahan keamanan di media sosial.

Bertindak atas laporan polis dibuat oleh Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Azizan Hamzah, pihak polis menahan lelaki berusia 61 tahun itu di rumahnya di Lenggeng, Negeri Sembilan pada jam 3.57 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki yang menggunakan akaun Facebook ‘Kamal Hero Malaya’ dikatakan memuat naik video berdurasi lebih sembila minit bertujuan menghina, menjatuhkan maruah serta mencemarkan reputasi Menteri Besar Kedah, selain bermotifkan politik.

Kata beliau, sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda kemudian berjaya mengesan dan menahan lelaki itu di rumahnya.

“Dalam serbuan itu, kita merampas sebuah telefon bimbit milik suspek untuk membantu siasatan.

“Selain itu, semakan rekod jenayah lampau turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Permohonan reman telah dipohon di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret Sungai Petani dan dibenarkan reman sehingga pukul 5 petang hari ini, suspek akan diberi jaminan polis selepas keterangan diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Adzli, kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat dan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 504 kanun keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Saya juga ingin menasihatkan masyarakat agar tidak memuat naik sebarang perkara jelik dan boleh mengaibkan individu lain sehingga boleh membangkitkan pecah keamanan,” ujar Adzli. – MalaysiaGazette