Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman bersama lembu korban Siti Sarah di Palestin.

KUALA LUMPUR – Sebulan lalu, penyanyi Siti Sarah Raisuddin sempat melaksanakan korban seekor lembu yang harganya mencecah belasan ribu ringgit di Gaza, Palestin.

Perkara itu dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menerusi Facebook hari ini.

Katanya, allahyarhamah seolah-olah ‘mengejar amal kebaikannya di saat-saat akhir.’

Tidak sekadar itu, Siti Sarah prihatin dengan saudara seagama di Palestin apabila sering bertanyakan perkembangan terkini daripada Nadir.

“Saya baru dihubungi Siti Sarah sebelum raya haji lepas untuk beliau ikuti program korban di Gaza kami. Masa tu saya terkejut bila beliau maklumkan nak korbankan seekor lembu dengan harga belasan ribu ringgit, bukan satu bahagian sahaja, seolah beliau sedang mengejar memberatkan timbangan amal kebaikannya yang terakhir.

“Selepas itu, beliau kerap berhubung dan bertanya tentang keadaan saudara-saudara kita di Palestin. Rupanya Allah takdirkan, nyawa beliau diambil dalam keadaan beliau memikirkan umat, peduli dengan nasib mereka malah telah didoakan ratusan penduduk di sini yang merasa daging pada tahun ini.

“Beruntunglah dikau, diberi syahid sambil didoakan ratusan keluarga syuhada akhirat di bumi berkat. Semoga engkau tenang di sana, al-fatihah,” katanya.

Nadir menambah, beliau turut terkesan dengan pemergian penyanyi itu.

Siti Sarah yang juga isteri pelawak, Shuib meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) jam 5.13 pagi hari ini selepas beberapa hari bertarung melawan Covid-19.

Allahyarhamah yang sedang mengandung tujuh bulan disahkan positif Covid-19 bersama-sama keluarganya selepas pembantunya dijangkiti pandemik itu.

Bagaimanapun, Siti Sarah ‘ditidurkan’ sebelum selamat melahirkan cahaya mata keempatnya dan Shuib-MalaysiaGazette