Mohd Uzir Mahidin.

KUALA LUMPUR – Pendapatan e-dagang Malaysia pada suku tahun kedua 2021 merekodkan RM267.6 bilion dengan peningkatan 23.3 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Pertumbuhan transaksi e-dagang ini didorong terutamanya oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Prestasi hasil sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan positif 20.5 peratus kepada RM404.5 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2020 berikutan kesan tahun asas perbandingan yang rendah, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas laporan tersebut, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd uzir Mahidin berkata, Segmen Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman dan Penginapan meningkat 21.8 peratus kepada RM324.6 bilion.

Ini diikuti oleh segmen Maklumat & Komunikasi dan Pengangkutan & Penyimpanan 14.7 peratus kepada RM59.5 bilion.

Segmen Kesihatan dan Kesenian, Hiburan & Rekreasi dan Segmen Profesional dan Ejen Hartanah juga mengalami tren yang sama iaitu masing-masing merekodkan pertumbuhan 27.3 peratus kepada RM12.2 bilion dan 8.0 peratus kepada RM8.2 bilion.

Jumlah pekerja dalam sektor ini ialah 3.6 juta orang, merosot sebanyak 25,812 orang atau -0.7 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun lepas.

Kemerosotan ini disebabkan oleh segmen Maklumat & Komunikasi dan Pengangkutan & Penyimpanan dengan penurunan sebanyak 11,297 orang atau -2.4 peratus diikuti Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman dan Penginapan seramai 6,127 orang atau -0.2 peratus.

Sementara itu, segmen Kesihatan dan Kesenian, Hiburan & Rekreasi menyusut -1.7 peratus atau 4,772 orang.

Segmen Profesional dan Ejen Hartanah juga menurun sebanyak 3,616 orang atau -2.0 peratus.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata; “Berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya, gaji dan upah yang dibayar meningkat 0.4 peratus atau RM100.5 juta.

Peningkatan gaji dan upah ini disumbangkan oleh segmen Maklumat & Komunikasi dan Pengangkutan & Penyimpanan dengan peningkatan sebanyak RM120.8 juta atau 2.8 peratus.

Ini diikuti oleh segmen Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman dan Penginapan dan segmen Kesihatan dan Kesenian, Hiburan & Rekreasi yang masing-masing meningkat sebanyak RM9.3 juta dan RM3.0 juta.

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara dalam talian (e-Census) sedang dilaksanakan di seluruh negara sehingga liputan penuh dapat dicapai.

Semua penduduk Malaysia diseru untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 bagi memastikan tiada yang ketinggalan kerana data anda masa depan kita.- MalaysiaGazette