Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan tajaan dermasiswa, biasiswa dan pinjaman pendidikan boleh ubah TNB menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) tahun ini biar pun berdepan pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, TNB komited meneruskan tajaan bagi menyokong usaha meningkatkan modal insan negara, selain membantu pelajar daripada keluarga B40 keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Kami terpanggil untuk meneruskan tajaan, terutama Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) kepada pelajar daripada keluarga susah melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), lebih-lebih lagi dalam suasana pandemik Covid-19 yang masih berlanjutan.

“Dermasiswa MyBF diberikan kepada pelajar tanpa permohonan dan proses temu duga, malah tiada bayaran balik.

“Calon yang layak dipilih daripada pengkalan data Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA – UPU Online dengan padanan dibuat dengan keluarga yang tersenarai dalam sistem Bank Data Kemiskinan Nasional, eKasih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahdzir berkata, seramai 2,500 lagi pelajar akan menerima tajaan dermasiswa MyBF pada tahun ini yang mana jumlah tajaan tahunan setiap seorang di peringkat ijazah pertama adalah berjumlah RM10,000, diploma RM9,000 dan sijil pula, RM6,600.

“Dermasiswa MyBF adalah kerjasama TNB dengan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk menyelaras dengan mengenal pasti calon layak daripada keluarga berpendapatan rendah dengan membantu pelajar di tujuh universiti awam, politeknik dan kolej komuniti terpilih.

“Antaranya, Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Tun Hussein Onn,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, sejak diperkenalkan pada 2018, lebih 5,000 pelajar telah menerima manfaat MyBF sehingga tahun 2020 menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) dengan TNB memperuntukkan sebanyak RM66 juta.

“YTN yang ditubuhkan pada 1993 telah membelanjakan lebih RM1.2 bilion melibatkan peruntukan dermasiswa MyBF (RM66 juta), biasiswa (RM597 juta) dan pinjaman Pendidikan boleh ubah (RM547 juta) kepada lebih 18,500 pelajar.

“Biasiswa dan pinjaman pendidikan boleh ubah dikhususkan untuk pelajar cemerlang dalam bidang kejuruteraan, perakaunan dan pengajian bisnes.

“YTN, ketika ini juga sedang mengenal pasti calon-calon pelajar yang berkelayakan bagi kedua-dua bentuk tajaan ini,” tambahnya.

Mahdzir juga berkata selain YTN, TNB turut membantu pelajar di peringkat pendidikan tinggi menerus Yayasan Canselor UNITEN (YCU), khusus untuk pelajar-pelajar di Universiti Tenaga Nasional.

Pada tahun ini YCU menyumbang sejumlah lebih RM772,000 bagi pembiayaan pelbagai program melibatkan, antaranya pembelajaran secara maya (virtual learning), penyelidikan pasca Covid-19 dan program sekolah angkat.- MalaysiaGazette