Datuk Hishamuddin Hashim, the Secretary-General of the Malaysia International Humanitarian Organization (MHO)
Datuk Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja tidak dibayar gaji malah majikan kepada sekumpulan 14 pekerja asing juga dipercayai menggunakan khidmat gangster untuk mengugut mereka.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan pekerja warga Bangladesh, India dan Pakistan yang mendakwa mereka  tidak dibayar gaji selama tiga bulan sehingga tertunggak sebanyak RM27,000.

Pekerja-pekerja buruh ini dipercayai bekerja di sebuah tapak pembinaan di Bukit Damansara.

“Bukan sahaja gaji mereka tidak dibayar sebaliknya ada pula ugutan jika berani keluar dari tapak binaan atau rumah kongsi tindakan akan diambil terhadap mereka.

“Mereka dipaksa bekerja tanpa gaji. Jika cuba bersuara identiti mereka akan didedahkan kepada pihak berkuasa. Mangsa-mangsa ini kemudian berhubung dengan MHO dan melarikan diri dari lokasi berkenaan.

“Mereka kini di bawah lindungan MHO. Kita telah buat laporan polis dan mohon pihak berwajib tolonglah siasat tentang dakwaan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelas Hishamuddin pihaknya bersama mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Tun Razak semalam dan turut dihadiri oleh wakil pekerja.

“Saya mohon sangat-sangat supaya polis siasat isu ini selaras dengan seruan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bagi membanteras isu pemerdagangan manusia,” katanya.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, setiap pekerja dijanjikan gaji antara RM2,500 hingga RM3,500 seorang sejak mula bekerja Mei lalu, namun mereka mereka hanya dibayar untuk tempoh 10 hari pada 20 Mei hingga 30 Mei lalu.

“Selepas itu tidak ada apa-apa. Bukan sahaja mereka dipaksa juga bekerja, ada juga yang jatuh sakit namun tidak dipedulikan. Secara mental dan emosi, semuanya terganggu,” ujarnya.

Hishamuddin juga berikrar tidak akan membiarkan isu tersebut berlalu begitu sahaja malah terus memperjuangkan nasib para pekerja tersebut.

“Warga asing pun manusia juga, kita tidak minta mereka diberikan keistimewaan yang cukup mewah tapi cukuplah sekadar diberikan hak asasi sebagai manusia. Tolonglah,” katanya.

MHO ditubuhkan bagi membantu isu berkaitan kemanusiaan dengan tumpuan kepada pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.

Untuk sebarang maklumat tambahan atau aduan mahupun kaunseling boleh menghubungi Hotline MHO di talian 01129050000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kerakyatan negara kecil sekangkang kera ini yang bukan hak asasi warga asing pun seperti talibarut tentera PKM yang ditubuhkan dan dibiayai sekian lama sehingga 1989 pun dapat kerakyatan negara kecil sekangkang kera ini, kan?

Comments are closed.