Datuk Fisol (dua,kanan) menunjukkan syabu yang dirampas dalam dua serbuan di Bukit Mertajam dan Gelugor pada Ahad lalu.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah susulan tangkapan dua warga asing termasuk kekasih ketua sindiket itu dalam dua serbuan di Bukit Tengah dan Gelugor di sini, pada Ahad lalu.

Serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang itu turut membawa kepada rampasan dadah jenis syabu dan eramin 5 yang bernilai RM671,096.

Datuk Fisol.

Serbuan pertama pada jam 10 malam membawa kepada tangkapan seorang lelaki warga Myanmar berusia 56 tahun yang juga penjaga stor manakala tangkapan kedua di Gelugor membabitkan wanita warga Vietnam berusia 31 tahun.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, suspek lelaki itu ditahan di sebuah rumah teres yang dijadikan stor penyimpanan dadah.

Jelas beliau, dalam serbuan itu pihak polis merampas 18.58 kg disyaki syabu bernilai RM668,772; 12 gram pil erimin 5 (RM690); 50 butir peluru jenis A USA 9 MM Luger; 56 liter cecari kimia dan peralatan proses dadah.

Datuk Fisol menunjukkan peluru yang dirampas polis dalam serbuan tersebut.

“Susulan itu, kita tahan suspek wanita dalam serbuan di sebuah kondominium di Gelugor sebelum merampas 45.5 g syabu bernilai RM1,634.

“Hasil siasatan mendapati rumah teres itu disewa selama dua tahun dengan kadar bayaran RM1,100 setiap bulan manakala kondominium pula, disewa RM1,200 sebulan sejak dua tahun lalu.

“Secara keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM671,096 manakala sitaan pula, RM48,730 termasuk wang tunai; jam tangan rolex serta barang kemas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Datuk Fisol (kanan) menunjukkan syabu yang dirampa dalam milikan dua suspek warga asing.

Menurut Fisol, siasatan lanjut juga mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam pengedaran dadah di negeri ini dan aktif sejak Ogos tahun lalu.

Kata beliau, sindiket ini memperoleh bekalan dari kawasan Lembah Klang dan pengedaran dibuat melalui jalan darat dan laut.

“Susulan penangkapan dua warga asing berkenaan, polis turut menahan sepuluh lagi suspek di Lembah Klang iaitu tujuh lelaki dan tiga perempuan berusia 27 hingga 65 tahun.

“Mereka terdiri ketua sindiket, tujuh ahli dan dua pembekal dadah di Lembah Klang,” jelas beliau.

Tambah Fisol, suspek lelaki positif syabu dan wanita yang didapati negatif dalam ujian saringan air kencing itu direman selama seminggu sehingga Ahad ini bagi siasatan lanjut.

Kess disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3), Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette