LAPORAN yang dikeluarkan para saintis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
menegaskan bahawa kesan berbahaya manusia terhadap perubahan iklim adalah fakta
yang tidak dapat dipertikaikan serta akan menyebabkan kenaikan suhu dan permukaan laut. Menurut PBB, pelepasan gas rumah hijau yang berterusan juga dapat menyaksikan
perubahan dalam had suhu utama dalam waktu lebih dari satu dekad, dan laporan tersebut menunjukkan bahawa permukaan laut meningkat hampir dua meter menjelang akhir abad ini, tidak dapat dihindarkan.
Berikutan itu, PBB menjangkakan pemanasan global mencapai 1.5 darjah Celsius berbanding era praindustri sekitar 2030, sepuluh tahun lebih awal daripada anggaran
terakhir yang dibuat pada tiga tahun lalu. Pemanasan ini amat mempengaruhi banyak keadaan cuaca dan iklim di setiap wilayah di seluruh dunia, sama seperti gelombang panas yang baru-baru ini dialami di Greece dan Amerika Utara, atau banjir seperti di Jerman dan China. Ia disebabkan oleh faktor suhu sebagaimana satu dekad yang lalu.
“Kenaikan suhu dijangka akan terus melebihi situasi ini, salah satu peruntukan utama dalam Perjanjian Paris menjelang 2050, bahkan jika dunia berjaya mengurangkan pelepasan gas rumah hijau secara signifikan,” menurut laporan Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC). Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, sekiranya semua pihak bersatu tenaga, bencana iklim akan dapat ditangani tetapi sebagaimana laporan yang dijelaskan hari ini, tidak ada masa untuk penundaan dan tidak ada ruang untuk alasan. "Laporan Kumpulan Kerja 1 IPCC adalah sebagai kod merah untuk umat manusia," kata beliau.
Setiausaha Agung Organisasi Meteorologi Dunia, Petteri Taalas berkata, tragedi ini
menggambarkan suasana yang terjadi ini lebih ekstrem daripada keadaan yang lalu.
Iklim yang tidak disangka
Sebelumnya pada Julai lalu, banjir besar melanda Eropah telah memusnahkan perkampungan serta mengorbankan banyak nyawa dan kebanyakannya melanda di barat Jerman. Penduduk yang terjejas dilaporkan langsung tidak menjangka bencana alam seteruk itu yang dipanggil sebagai ‘banjir kematian’ sebagaimana yang dilaporkan akhbar Jerman, Bild. “Jumlah kerosakan akibat banjir kali ini dijangka mencecah kos berbilion Euro,” kata Ketua Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan dan Bandar Jerman, Gerd Landsberg.
Dalam pada itu, di Ankara, kebakaran hutan di Turki menjadi semakin buruk sejak Rabu lalu, menyaksikan semakin banyak kawasan terjejas dan ribuan penduduk perlu dipindahkan. “88 daripada 98 kebakaran hutan yang dilaporkan sudah berjaya dikawal,” kata Menteri Agrikultur dan Perhutanan Turki, Bekir Pakdemirli.
Gelombang haba ini adalah yang paling buruk dalam tempoh 30 tahun, yang berlarutan
selama seminggu, telah mencetuskan kebakaran di beberapa tempat. Belum diketahui berapa jumlah sebenar kediaman yang musnah dan haiwan yang terkorban akibat daripada kebakaran tersebut.
Api yang mula menjadi ancaman besar sejak awal bulan ini telah memusnahkan sekitar
kawasan rentasan sebuah lebuh raya yang menghubungkan Athens dengan lokasi lain di
utara Greece, hingga memaksa anggota penyelamat menggunakan pesawat untuk
memadamkan api. Sejak Jumaat lalu, bencana yang terjadi itu menjejaskan kehidupan manusia dan habitat haiwan liar bagaikan tiada kesudahan setelah masuk hari ke-10.
Puluhan ribu hektar hutan musnah di wilayah-wilayah Mediterranean dan Aegean dalam
bencana yang disifatkan Presiden Tayyip Erdogan sebagai yang terburuk dalam sejarah
Turki. Di California pula, pasukan bomba dan penyelamat berusaha sehabis tenaga untuk
memadamkan api yang memusnahkan hutan berharga di kawasan itu. Ini terjadi berikutan gelombang haba yang melampau dalam musim panas hingga membuatkan banyak kawasan di zon terbabit berdepan bencana kebakaran yang sukar untuk ditangani.
Atriza Umar