Gambar hiasan

SITUASI pandemik Covid-19 di Malaysia memberi isyarat jelas terhadap keperluan integrasi di antara penyampaian perkhidmatan dan penyediaan aset. Isu integrasi ini adalah isu besar yang perlu ditangani kerana ia memberi kesan kepada tahap penyampaian perkhidmatan sektor awam, sekali gus memaparkan kredibiliti pemberi perkhidmatan. Terma aset itu sendiri mempunyai beberapa kategori dan sering digunakan bagi merujuk kepentingan dan kepunyaan sama ada individu atau organisasi. Dasar Pengurusan Aset Kerajaan (DPAK) dengan jelas memperihalkan hala tuju, prinsip dan strategi pengurusan aset kerajaan dan mengklasifikasi aset kepada empat konteks iaitu Aset Alih, Aset Tak Alih, Aset Hidup dan Aset Intelek. Dalam penulisan ini, fokus adalah diberikan kepada aset tak alih.

Pengurusan aset tak alih adalah pendekatan yang mampu memberi impak magnetik dan
mendepani penyampaian perkhidmatan sektor awam yang cemerlang. Aset dikenalpasti
sebagai objek fizikal yang perlu diurus dengan cekap kerana ia adalah refleksi kepada mutu penyampaian perkhidmatan. Di dalam memahami pendekatan pengurusan aset tak alih, definisi aset itu sendiri perlu dihadam agar peletakan pendekatan pengurusan itu benar-benar mencapai sasaran.

DPAK mendefinisikan aset tak alih sebagai aset yang kekal dan tidak boleh dialih dari tempatnya iaitu tanah, bangunan dan infrastruktur. Setiap aset tak alih mempunyai kitaran hayat dan setiap kitaran mempunyai implikasi kewangan. Isu yang dibangkitkan adalah berkaitan keperluan sesebuah organisasi sektor awam membangunkan strategi pengurusan aset tak alih yang mampu menterjemah dan merangka pelan tindakan untuk penyampaian perkhidmatan berdasarkan keperluan dan hala tuju perkhidmatan awam.

Pembangunan strategi pengurusan aset tak alih perlu fokus kepada integrasi tiga  faktor utama. Faktor pertama adalah berkaitan pengurusan kewangan. Setiap organisasi sektor awam telah diperuntukkan oleh kerajaan sejumlah bajet yang besar dalam menyediakan aset tak alih bagi menyampaikan perkhidmatan dalam agenda meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Setiap aset tak alih yang dibangunkan ini memerlukan sumber kewangan kerana aset tak alih mempunyai kos kitaran hayat yang tinggi bermula dari kos pemilikan ke atas aset, kos perancangan pembangunan, reka bentuk, pembinaan, penyenggaraan, operasi dan pelupusan. Justeru setiap kitaran hayat aset tak alih ini perlu diuruskan secara bersepadu dan bersistematik agar aset tak alih ini tidak menjadi beban dan pusat kos kepada organisasi sektor awam. Ini memperlihatkan, strategi pengurusan aset yang optimum mampu memberi impak dan nilai terbaik samada dalam bentuk faedah sosial kepada rakyat mahupun faedah ekonomi.

Faktor kedua adalah berkaitan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. Aset yang
tidak diuruskan dengan baik akan memberikan gangguan pada penyampaian  perkhidmatan kepada pelanggan. Aspek kegunaan ruang optimum dan perancangan strategi penyenggaraan adalah antara keperluan yang perlu diuruskan secara berkesan. Penyenggaraan aset tak alih bukan hanya memastikan bangunan, infrastruktur, sistem atau peralatan beroperasi pada kecekapan yang maksimum tetapi bagi memastikan persekitaran ruang memenuhi keperluan proses penyampaian perkhidmatan, daya huni dan perundangan. Pengurusan aset tak alih yang tidak endah memberikan kesan kepada reputasi kerajaan dalam ukuran kecekapan penyampaian perkhidmatan dan memberi persepsi kurang wajar kepada pelanggan.

Faktor ketiga adalah kemahiran, ilmu dan kompetensi dalam menguruskan aset tak alih.
Kompetensi sangat diperlukan dalam tiga peringkat pengurusan seperti keupayaan merangka strategi di peringkat strategik, kemahiran mengendali di peringkat taktikal dan perlaksanaan inisiatif di peringkat operasi. Keupayaan dan keperluan integrasi ini perlu mempunyai kemahiran dan ilmu agar pegawai yang diberikan tanggungjawab benar-benar faham setiap skop kerja dan tugas yang perlu dilaksanakan. Oleh yang demikian strategi ke arah membudayakan ilmu pengurusan aset perlu diterapkan di kalangan pegawai-pegawai kerajaan khususnya dan penyedia perkhidmatan amnya.

Tiga faktor utama yang dibincangkan ini iaitu pengurusan kewangan, pengurusan
penyampaian perkhidmatan dan pengurusan kemahiran kompetensi adalah faktor utama yang perlu tindakan segera dalam pengurusan aset tak alih sektor awam. Walaupun terdapat lain-lain faktor yang juga mempengaruhi, namun tiga faktor ini menjadi prioriti perancangan tindakan kerana ia melibatkan sumber-sumber penting organisasi. Justeru, tindakan segera perlu dilaksanakan oleh organisasi sektor awam bagi merangka strategi pengurusan aset tak alih yang cekap, berkesan, berintegriti dan lestari, dan ia perlu bermula dengan pembangunan polisi pengurusan aset tak alih.

Prof. Madya SR. Dr. Maimunah binti Sapri
Pengerusi Bahagian Pengurusan Perniagaan
Jabatan Timbalan Naib Canselor Pembangunan
Felo Penyelidik
UTM Centre for Real Estate Studies (UTM CRES)