Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Syarikat pembentungan dan pengurusan sisa kumbahan, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dibenar menjalankan perniagaan bukan berasaskan tarif seperti penghasilan air pulih guna daripada bi-produk pembetungan sebagai sumber air alternatif untuk industri.

Menteri Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, IWK juga boleh meneroka pelbagai potensi perniagaan lain berkaitan perkhidmatan pembetungan seperti penghasilan baja tanaman bukan makanan daripada bio-pepejal rawatan loji rawatan kumbahan dan pajakan kecil tanah pembetungan untuk penghasilan tenaga solar, sewaan menara telekomunikasi atau kabel fiber optik.

“Pendapatan daripada aktiviti perniagaan bukan berasaskan tarif dijangka dapat mengurangkan beban kewangan IWK.

“Mengambil kira keadaan aset-aset lama IWK yang perlu dinaiktaf, peningkatan tarif elektrik dan kemunculan ancaman baharu seperti jenayah alam sekitar, IWK perlu mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dalam menangani cabaran-cabaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Kepada Perjanjian Konsesi Antara Kerajaan Malaysia Dengan Syarikat Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. secaya maya, hari ini.

Melalui perjanjian itu, tempoh konsesi IWK sebagai syarikat konsesi perkhidmatan pembetungan negara yang akan tamat pada 31 Mac 2022 dilanjutkan sehingga 31 Disember 2034.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, tarif perkhidmatan pembentungan kendalian IWK kepada pengguna masih kekal sama dan tidak pernah disemak semula.

Secara realitinya kata beliau, purata kos penyelenggaraan sistem pembetungan bagi setiap premis bersambung adalah kira-kira RM17 sebulan berbanding tarif semasa iaitu antara RM2 hingga RM8 sebulan.

Ujarnya, berdasarkan kajian yang dijalankan, semakan tarif perkhidmatan pembetungan wajar dipertimbangkan secara teliti bagi mengimbangi kos penyelenggaraan aset yang telah lama, peningkatan tarif elektrik dan kemunculan ancaman baharu jenayah alam sekitar yang lebih rencam.

“Peningkatan kualiti perkhidmatan akan memberi kesan kepada kos operasi IWK. Oleh itu, IWK memerlukan sumber kewangan yang stabil melalui pelan operasi perniagaan yang mampan di samping bantuan kewangan daripada kerajaan Persekutuan.

“Kelestarian sumber air dan kesihatan awam sangat bergantung kepada keupayaan kewangan IWK dalam melaksanakan tanggungjawabnya,” tambahnya.

Tuan Ibrahim berkata, beliau optimis pelaksanaan alternatif aktiviti perniagaan bukan berasaskan tarif dan cadangan penetapan semula caj pembetungan itu akan memberi ruang lebih terbuka kepada IWK untuk tidak lagi bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan Malaysia tetapi masih berupaya memastikan sistem pembetungan awam terus berada dalam keadaan yang baik dan cekap.

“Penghasilan air pulih guna kepada sektor industri akan menjadi salah satu pencapaian baharu dalam model ekonomi kitaran negara.

“Insya Aallah, IWK dengan kerjasama pemain industri air yang lain akan memulakan inisiatif air pulih guna di Selangor dan diikuti beberapa buah negeri yang lain,” tambahnya. – MalaysiaGazette