Gambar yang dimuat naik Azalina di laman Twitter.

KUALA LUMPUR – Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam ciapan di laman Twitter bertanya kepada rakan sejawatannya, Datuk Abdul Rashid Hasnon sama ada beliau sudah membaca surat bertarikh 9 Ogos yang salinannya ditujukan kepada mereka berdua.

Surat bertarikh 9 Ogos 2021 salinanya kepada kita berdua, dah baca ke belum @hjrashidjohor,” katanya.

Ahli Parlimen Pengerang itu dipercayai merujuk kepada surat yang didakwa daripada Istana Negara kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berhubung status terkini bilangan sokongan ahli Dewan Rakyat bertarikh 9 Ogos 2021.

Dalam ciapan yang sama Azalina turut mengingatkan Abdul Rashid bukankah mereka juga bertemu Yang di-Pertuan Agong beramai-ramai pada 29 Jun yang lalu.

Ini kerana Abdul Rashid dalam satu kenyataan kepada portal berita dilaporkan berkata, bukanlah satu precedent atau duluan untuk YDPA berkomunikasi secara terus dengan Speaker Dewan Rakyat berkaitan hal ehwal Parlimen.

“YB bukan kita jumpa YDPA ramai ramai pada 29 Jun 2021 ke?” Katanya.

Beliau turut memuat naik gambar sembah menghadap Speaker Dewan Rakyat, Dewan Negara dan timbalan-timbalan speaker terhadap Yang di-Pertuan Agong pada tarikh tersebut.

Kelihatan dalam gambar tersebut adalah Tan Sri Dr Rais Yatim, Azhar, Azalina dan Rashid.

Turut dimuat naik tangkap layar laporan berita yang memetik kenyataan Abdul Rashid.

Sejak kelmarin tular surat didakwa dari Istana Negara kepada Speaker Dewan Rakyat berhubung status terkini sokongan ahli Dewan Rakyat.

Di bawah surat itu memaklumkan salinan kepada ketua Setiausaha Negara,   Speaker Dewan Negara, dan timbalan-timbalan speaker iaitu Azalina dan Abdul Rashid.

Turut tular surat Azhar kepada Istana Negara bertarikh 10 Ogos memaklumkan tentang sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat, bagaimanapun Speaker Dewan Rakyat itu kemudian menafikan beliau menulis surat tersebut. – MalaysiaGazette