Azmi Abu Kassim

KUALA LUMPUR – Enam anggota polis disyaki terlibat dalam kejadian samun membabitkan seorang lelaki warga Nepal di Jalan Selingsing, Taman Sri Kuching, Jalan Ipoh semalam.

Kesemua anggota polis yang terlibat dalam kejadian itu sudah dikenalpasti, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim hari ini.

Difahamkan, semua anggota yang terbabit adalah berpangkat rendah.

“Polis kini sedang giat menjalankan siasatan berhubung kes itu daripada setiap sudut. Kita telah menerima laporan polis dari mangsa, telah membuka kertas siasatan dan sedang menyiasat mengenai insiden membabitkan enam anggota kami itu.

“Namun, setakat ini saya masih belum boleh memberi pengesahan dan perincian mengenai kes ini, termasuk pangkat sebenar anggota polis yang terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa adalah seorang lelaki berusia 29 tahun dan bekerja sebagai operator kilang itu dipercayai disamun wang berjumlah RM255.

Lelaki Nepal itu dipercayai disamun semasa cuba melarikan diri daripada sekumpulan anggota polis yang sedang membuat rondaan akibat panik permit kerjanya tamat tempoh.

Lokasi kejadian itu pula dikatakan di kawasan tempat letak kereta awam yang tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup dan saksi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad menegaskan jabatannya belum menerima sebarang laporan mengenai pembabitan enam anggota itu.

“Kes itu disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah kerana membabitkan jenayah iaitu samun. Memang itu prosedurnya..Kalau terkesan kes-kes jenayah atau kes narkotik atau rasuah… Siasatan utama dari aspek jenayah, narkotik dan rasuah dijalankan.

“Siasatan selari berkaitan kesalahan tatatertib akan menyusul kemudian membabitkan JIPS,” tegasnya.-MalaysiaGazette